Situasi di Hospital Kamal Adwan di Gaza amat berbahaya, kata pengarah

Tentera pendudukan Israel masih mengepung Hospital Kamal Adwan di Semenanjung Gaza. Foto REUTERS
Tentera pendudukan Israel masih mengepung Hospital Kamal Adwan di Semenanjung Gaza. Foto REUTERS
A
A
A

GAZA - Tentera pendudukan Israel masih mengepung Hospital Kamal Adwan di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Qatar (QNA), memetik kenyataan pengarah hospital Dr Hussam Abu Safiya.

Dalam kenyataan akhbar pada Rabu, Abu Safiya berkata, tentera pendudukan itu menyasarkan petugas dan pesakit yang cuba bergerak keluar dari hospital, sambil menekankan bahawa situasi itu sangat berbahaya.

Hospital itu mengalami kerosakan teruk akibat letupan kira-kira 10 bom robot di kawasan berdekatan.

Abu Safiya turut menambah bahawa pengeboman oleh tentera pendudukan Israel bermula sejak awal pagi, apabila pesawat perang mereka menyasarkan rumah berdekatan hospital, sementara tembakan senjata berat di sekelilingnya meningkatkan intensiti keganasan.

Beliau berkata, letupan itu memusnahkan semua pintu, tingkap dan sekatan dalaman, serta menyebabkan beberapa dinding roboh, mewujudkan pemandangan mengerikan yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan pesakit dan kakitangan.

Abu Safiya turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dengan segera bagi melindungi sistem kesihatan, pekerja dan pesakit di hospital itu.

Selama 82 hari berturut-turut, tentera pendudukan terus melancarkan perang genosid dan pengepungan yang menyesakkan di utara Semenanjung Gaza, menyaksikan penderitaan ribuan penduduk yang terkepung semakin parah, dengan sekatan yang terus menghalang kemasukan bantuan ke utara, yang juga kekurangan bekalan air minuman.

Menurut statistik rasmi awal, pencerobohan Israel di utara Semenanjung Gaza dan operasi pengeboman yang intensif sejak 5 Okt menyebabkan lebih 4,000 syahid dan hilang, 12,000 cedera dan 2,000 ditahan manakala tentera pendudukan telah memusnahkan semua sektor dan infrastruktur penting di wilayah itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!