Tukang wayar didakwa pecah masuk rumah pengurus syarikat
KUALA LUMPUR - Seorang tukang wayar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah dan mencuri pelbagai barangan milik seorang pengurus syarikat, melibatkan kerugian lebih RM170,000, minggu lepas.
Koh Kok Hin, 57, didakwa memecah masuk rumah milik Chooi Weng Wai, 35, dan mencuri barangan kemas anggaran RM100,000, pasport Malaysia, tiga buah beg jenama Chanel bernilai RM60,000, mata wang asing seperti USD, Dolar Australia, Yen Jepun dan Dolar Singapura dianggarkan bernilai RM10,000, serta wang tunai RM3,000, menjadikan jumlah kerugian sekitar RM173,000.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Desa, Brickfields di sini pada jam 4 petang, 18 Disember lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, dan jika kesalahan melibatkan kecurian, penjara boleh dikenakan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman tidak mencadangkan jaminan, namun peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga termasuk tiga anak yang masih belajar dan perlu memberi nafkah kepada bekas isterinya.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan Koh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!