Dua beranak maut: Isteri sempat mohon maaf sebelum kereta terbalik

Mohammad Syuqur menunjukkan gambar isteri dan anak bongsu mereka yang meninggal dunia dalam kemalangan dekat Sitiawan pada Khamis.
Mohammad Syuqur menunjukkan gambar isteri dan anak bongsu mereka yang meninggal dunia dalam kemalangan dekat Sitiawan pada Khamis.
A
A
A

LUMUT - [DIKEMAS KINI] Wanita yang maut dalam nahas di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, awal pagi Khamis sempat meminta maaf kepada suaminya sebelum kenderaan dinaiki bersama dua anak mereka hilang kawalan dan terbalik.

Menurut Mohammad Shuqur Ahmad, 24, sepanjang perjalanan menuju ke Kampung Acheh di sini, isterinya, Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, banyak bersembang sambil meminta maaf dan meminta kirim salam kepada ibunya.

"Dalam masa sama, isteri ada beritahu kalau dia 'pergi', biarlah dia pergi bersama Iman (Muhammad Iman Irfan, 15 bulan). Saya hairan dan bertanya kenapa cakap begitu?

"Isteri hanya menjawab 'mungkin hendak jadi kot'. Saya terdiam dan sambil memandu itu, saya terlihat seperti ada haiwan di tengah jalan dan saya cuba mengelak dan selepas itu saya tidak ingat apa-apa," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Seri Manjung di sini.

No Image Caption

Mohammad Shuqur yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, sebaik tersedar dia mendapatkan isterinya yang dalam keadaan nazak dan sempat bisikkan dua kalimah syahadah.

"Dalam keadaan nazak, isteri tidak putus-putus meminta maaf, saya minta dia bersabar sebelum tiba-tiba dia senyap.

"Anak sulung (Muhammad Alif Sufi, 3) masa itu menangis peluk saya. Saya jadi kosong tidak tahu apa-apa kerana kejadian berlaku sangat pantas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebelum kejadian, mereka sekeluarga bercadang untuk sarapan bersama di sebuah restoran 24 jam di Ayer Tawar selepas mengambil lori majikan yang di parkir di Kampung Acheh.

"Isteri mahu guna kereta jadi dia ikut ambil lori dan saya akan mengikutinya memandu kereta dari belakang untuk berhenti sarapan sebelum dia pulang ke rumah sewa kami dekat Gelung Pepuyu, Bota.

"Ikut perancangan asalnya begitulah tetapi hasrat untuk sarapan sama-sama itulah tidak kesampaian," katanya.

Mohammad Shuqur berkata, isterinya banyak menunjukkan perubahan apabila kelihatan gembira dan banyak ketawa sepanjang berada di kampungnya di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan pada Rabu.

"Isteri sebelum itu memang bersungguh-sungguh mahu balik ke kampung jumpa ibunya dan saya tunaikan hasratnya dengan menggunakan cuti Hari Krismas untuk balik kampung.

"Walaupun sekejap saja mereka bertemu, nampak jelas di wajahnya dia sangat ceria sebelum kami bergerak pulang pada sebelah petang," katanya.

Tambahnya, jenazah isteri dan anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lui Selatan, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan selepas selesai bedah siasat.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, dan bayi lelakinya yang berusia 15 bulan, Muhammad Iman Irfan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian itu, Mohammad Syuqur yang memandu kereta Perodua Kelisa dan seorang lagi anak lelakinya, Muhammad Alif Sufi berusia tiga tahun pula cedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kemalangan membabitkan kereta Perodua Kelisa dinaiki empat beranak itu berlaku dipercayai akibat hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan seorang bayi lelaki tercampak keluar dari kenderaan sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!