Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat sedia santuni lebih 1,000 tetamu

Jelajah Sinar Untuk Rakyat akan berlangsung pada 4 dan 5 Januari 2025 di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis.
Jelajah Sinar Untuk Rakyat akan berlangsung pada 4 dan 5 Januari 2025 di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Jelajah Sinar Untuk Rakyat anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) bersiap sedia untuk menyantuni lebih 1,000 tetamu pada majlis perasmian dan penyampaian bantuan yang akan menjadi pembuka tirai program tanggungjawab sosial (CSR) bagi 2025.

Jelajah Sinar Untuk Rakyat yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Januari 2025 di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis itu akan menampilkan pelbagai segmen menarik melibatkan aktiviti gotong-royong menyediakan hidangan untuk majlis Kenduri Sekampung, ceramah motivasi untuk pelajar miskin, kayuhan basikal santai bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan beberapa lagi aktiviti kemasyarakatan lain.

Othman
Othman

Penyelaras program, Othman Mamat berkata, semua persiapan berjalan lancar dan sudah hampir siap sepenuhnya dengan memfokuskan persediaan masjid untuk mengadakan jamuan Kenduri Sekampung dan penyampaian bantuan bakul rezeki kepada golongan asnaf.

Menurut beliau, menerusi Jelajah Sinar Untuk Rakyat, pihaknya akan memberi bantuan berupa bakul rezeki yang mengandungi barang-barang keperluan harian kepada 200 keluarga asnaf dari Mukim Beseri dan Mukim Chuping.

"Semuanya telah tersedia dari segi persiapan memasak hidangan kenduri sekampung, laluan kayuhan santai bersama Tuanku, penceramah dan peserta ceramah. Hanya beberapa hal kecil sedang kami kemas kini menjelang majlis pada 4 Januari nanti.

"Jadi saya rumuskan bahawa kami sudah bersedia sepenuhnya untuk program Jelajah Sinar Untuk Rakyat yang berbaki sembilan hari sahaja lagi.

"Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai pihak antaranya Pejabat Istana Perlis, Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Beseri dan pelbagai agensi kerajaan termasuk Bahagian Pengurusan Majlis Protokol dan Istiadat, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi kerajaan negeri lain yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ajak seluruh rakyat Perlis tanpa mengira agama dan keturunan untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan program kemasyarakatan ini. Selain impak dari segi sosioekonomi, saya juga harap program ini akan meninggalkan kenangan paling manis kepada rakyat Perlis terutamanya para penerima bantuan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Othman, pihaknya memilih Perlis sebagai hos pertama program Jelajah Sinar Untuk Rakyat kerana mahu memperluaskan jangkauan Sinar Harian dan Yayasan Bank Rakyat dalam menyantuni masyarakat memandangkan selama ini pihaknya lebih menumpukan kepada Lembah Klang dan kawasan sekitarnya sahaja.

"Kami bersyukur apabila hasrat untuk mendekati rakyat Perlis telah diperkenankan oleh Tuanku Raja Muda Perlis. Malah, saya difahamkan, baginda sendiri menitahkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri Perlis memberi kerjasama dan sokongan padu bagi menjayakan program ini.

"Saya turut difahamkan, Tuanku juga telah menitahkan supaya aktiviti kayuhan basikal diadakan dengan melalui kawasan yang berpotensi bagi menarik pelancong supaya Sinar Harian akan turut membantu mempromosikan kawasan berkenaan sempena Tahun Melawat Perlis 2025," katanya.

Othman memberitahu, selain memberikan bantuan keperluan harian, penganjur juga berhasrat untuk membantu memperkasakan ekonomi dan sosial penduduk menerusi program berbentuk pendidikan.

"Ini kerana hanya pendidikan akan dapat mengubah masa depan sesebuah masyarakat.

"Sebab itulah salah satu elemen dalam program Jelajah Sinar Untuk Rakyat ini ialah memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar miskin dengan harapan dapat membakar semangat mereka untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya mengubah nasib keluarga dan masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!