Kalah kes saman fitnah: Lagi desakan Hannah Yeoh letak jawatan
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak kerajaan menggugurkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh daripada jawatannya susulan tuduhan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Ketua Srikandinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengambil tindakan itu berikutan pengakuan Hannah yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
"Siasatan dan tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap Hannah dan penerbit buku Becoming Hannah yang mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus.
“Dalam penghakiman mendapati bahawa kenyataan Musa tidak bersifat fitnah dan Hannah sendiri melalui bukunya mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.
“Walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengharamkan buku tersebut, kandungannya menimbulkan kebimbangan mengenai usaha penyebaran agama Kristian bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) mendesak Hannah supaya meletakkan jawatan bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.
Desakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu yang menolak saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Segambut itu selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.
Saman fitnah yang difailkan Hannah pada 30 Januari 2020 dibuat kerana mendakwa Musa antara lain menuduhnya menulis buku 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, keputusan penghakiman berkenaan secara tidak langsung mengesahkan bahawa Hannah sememangnya terlibat dengan gerakan Evangelis dan usaha mengkristiankan negara.
“Pada 20 Mei 2017, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff juga pernah membuat laporan polis terhadap Hannah kerana mendakwa buku Becoming Hannah mempunyai unsur untuk menyebarkan agama Kristian dan berpotensi mempengaruhi pembaca Muslim.
“Keberadaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan memungkinkan penyalahgunaan kuasa, kedudukan, peruntukan, sumber tenaga dan program kementerian serta sebarang peruntukan berkaitan untuk melaksanakan misinya sebagai pendakwah ‘duta tuhan’.
“Buku tersebut sememangnya mengandungi unsur-unsur yang disebut oleh Kamarul Zaman sebagai satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi atau menghasut individu lain yang bukan beragama Kristian,” ujarnya.
Tambah Mas Ermieyati, tulisan Hannah pada halaman 14 buku tersebut menyebut ‘jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini’ dan pendedahan mengenai misinya sebagai ‘duta tuhan’ untuk mencari pengikut pada muka surat tujuh adalah bukti jelas.
“Malah, Hannah turut mempromosikan bukunya kepada sesiapa sahaja, di dalam kenyataan media beliau pada 14 Mei 2017 bahawa buku ini boleh dibeli secara atas talian di Gerak Budaya atau mana-mana gedung buku utama.
“Lebih membimbangkan apabila Hannah sendiri mengakui dan mendedahkan betapa dia menggunakan jawatan politik untuk berdakyah di gereja, pemimpin dunia dan orang muda yang tercatat pada halaman 108.
“Tindakan Hannah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 4 (1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) serta Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!