Suruhanjaya Negara siasat punca pesawat Azerbaijan Airlines terhempas

Pesawat Azerbaijan Airlines yang berlepas dari Baku menuju Grozny disahkan terhempas di lapangan terbang Aktau, Kazakhstan pada Rabu.
Pesawat Azerbaijan Airlines yang berlepas dari Baku menuju Grozny disahkan terhempas di lapangan terbang Aktau, Kazakhstan pada Rabu.
A
A
A

BAKU - Suruhanjaya Negara yang ditubuhkan atas arahan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev bagi menyiasat punca nahas pesawat Azerbaijan Airlines di Kazakhstan mengadakan mesyuaratnya pada Rabu, lapor Agensi Berita Negara Azerbaijan (Azertac).

Pengerusi suruhanjaya itu, Perdana Menteri, Ali Asadov memberitahu, Aliyev sendiri mengambil kawalan peribadi terhadap siasatan insiden tersebut.

Suruhanjaya itu membincangkan beberapa isu penting termasuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang cedera.

Menteri Kesihatan, Teymur Musayev diberi tanggungjawab menyelaraskan bantuan perubatan kepada mangsa yang cedera dengan kerjasama pihak Kazakhstan.

Selain itu, suruhanjaya itu turut mengkaji semula usaha berterusan untuk mengenal pasti individu yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Tugas segera telah diberikan untuk memberi sokongan kepada keluarga dan saudara-mara mangsa yang cedera dan meninggal dunia.

Keluarga dan saudara-mara penumpang yang terlibat dalam nahas pesawat itu dimaklumkan dengan segera melalui talian bantuan yang diwujudkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev.

Mereka juga menerima sokongan psikologi dan bantuan lain yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Melalui kerjasama pihak berkuasa Kazakhstan, Pejabat Peguam Negara Azerbaijan sedang menyiasat punca kejadian dan membuka kes jenayah.

Suruhanjaya diarahkan untuk memberikan kemas kini berkala mengenai perkembangan siasatan tersebut.

Selain itu, turut dinyatakan, jika perlu dan dengan kebenaran, perubatan persediaan dibuat untuk memindahkan warganegara Azerbaijan yang cedera dalam nahas dan sedang menerima rawatan di Aktau, kembali ke Azerbaijan.

Sementara itu, Aliyev berkata, nahas pesawat itu mesti disiasat secara menyeluruh.

"Pesawat Azerbaijan Airlines yang terbang di laluan Baku-Grozny mengubah haluannya disebabkan keadaan cuaca buruk dan menuju ke Lapangan Terbang Aktau, apabila nahas berlaku semasa pendaratan,” kata Aliyev semasa mesyuarat berhubung nahas pesawat itu.

Aliyev berkata, terdapat pelbagai teori menyebabkan nahas berlaku tetapi terlalu awal untuk membincangkannya.

Sementara itu, penerbangan di laluan Baku-Grozny-Baku dan Baku-Makhachkala-Baku digantung sehingga siasatan selesai, lapor Azertac. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!