Hukuman sebat di khalayak ramai tiada dalam Akta 355 - Majlis Peguam
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak umum tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, walaupun akta membenarkan sebat, namun hukuman tersebut tidak menyatakan ia boleh dilakukan secara terbuka.
"Pendekatan hukuman tersebut menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
“Hukuman seperti ini sememangnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah individu. Tambahan pula, pelaksanaan hukuman sebat awam melebihi had bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang dinyatakan dalam Akta 355.
“Walaupun Akta 355 membenarkan sebat, ia tidak memperuntukkan hukuman tersebut dijalankan secara terbuka di khalayak ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jumaat ini, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Mengulas lanjut, Mohamad Ezri berkata, Malaysia perlu mengikuti beberapa negara majoriti Islam yang telah meratifikasi atau menyetujui Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).
“Malaysia bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang dihormati kerana mematuhi piawaian hak asasi manusia tetapi membenarkan hukuman sebat awam melanggar prinsip hak asasi manusia antarabangsa, termasuk yang termaktub dalam UNCAT,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad Ezri menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu mempertimbangkan semula serta meminda undang-undang yang membenarkan hukuman sebat di khalayak umum.
Beliau berkata, ia bagi memastikan hukuman yang akan dijalankan adalah seimbang dan menghormati maruah individu.
“Selain itu, kami menyeru agar hukuman dera di Malaysia dimansuhkan sepenuhnya kerana sistem keadilan mesti ke arah mengimbangi moral, belas kasihan dan kedaulatan undang-undang.
“Kami mengakui kepentingan menegakkan undang-undang yang memelihara moral awam dan keharmonian masyarakat. Hukuman mesti seiring dengan komitmen Malaysia untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia.
“Sebatan awam memburukkan lagi penghinaan dan penderitaan dialami individu yang dihukum, sekali gus menjadikan mereka objek yang memalukan awam dan bukannya menggalakkan pemulihan atau keinsafan,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!