Rakaman 'dashcam' bantu polis siasat kesalahan kenderaan berat
KUALA LUMPUR - Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kesalahan yang dikesan membabitkan pemandu kenderaan berat membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, segala maklumat boleh disampaikan kepada pihak polis sekiranya orang ramai mengesan kenderaan berat yang disyaki mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan sebarang kesalahan dengan merakam melalui kamera papan pemuka atau memaklumkan segera kepada polis.
"Kesalahan yang dikesan dalam bentuk rakaman sedikit sebanyak dapat membantu dalam usaha mengesan pemandu dan kenderaan berat yang melakukan kesalahan jalan raya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohd Yusri berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan berkenaan sebagai usaha mencegah serta mengelak berlakunya kemalangan.
"Ada juga situasi pengguna jalan raya yang merakam dan memaklumkan segera kepada pihak polis tentang kesalahan yang dikesan dilakukan pemandu sebuah treler, sebelum bertindak menghalang kenderaan berkenaan daripada meneruskan perjalanan, kita benar-benar memuji tindakan sedemikian,' katanya.
Mohd Yusri berkata, langkah kerjasama perkongsian maklumat antara pengguna jalan raya dan pihak berkuasa juga dianggap sebagai salah satu usaha mengatasi kes insiden kemalangan jalan raya sekali gus mengesan mereka yang melanggar undang-undang jalan raya.
"Janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan merakam situasi sesuatu kesalahan namun kemudian menularkannya dalam akaun media sosial masing-masing sekadar untuk mencari pengikut namun tidak memaklumkan kepada pihak polis.
"Perkara ini mungkin akan mewujudkan persepsi yang tidak baik apabila akan ada yang mempersoalkan bahawa agensi penguatkuasaan tidak bertindak untuk mengambil tindakan yang dilakukan oleh sesebuah kenderaan berat dan pemandunya.
"Kongsilah segala maklumat yang ada dengan kami supaya kita bersama-sama dapat memastikan kemalangan jalan raya tidak berlaku sekali gus keselamatan pengguna jalan raya lain akan lebih terjamin," katanya.
Mohd Yusri berkata, kerjasama secara bersepadu dengan pelbagai agensi lain telah wujud sekian lama akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.
"Kita akan meningkatkan pemantauan dan rondaan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin," katanya.
"Orang ramai dan pengguna jalan raya boleh menyalurkan segala maklumat berkenaan sebarang kesalahan kenderaan berat dengan menghubungi Bilik Gerakan JSPT Bukit Aman di talian 03-22663356 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Terdahulu laporan khas yang disiarkan Sinar Harian pada Isnin berhubung kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
Mohd Yusri dilaporkan berkata, sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan purata nahas tiga lori dalam sehari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!