Buaya mati dilanggar SUV di lebuh raya
BANDAR SERI BEGAWAN - Seekor buaya mati selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) di lebuh raya berhampiran Jalan Penanjong di Tutong, Brunei.
Beberapa gambar yang tular di Facebook menunjukkan bangkai buaya tersebut terbaring di atas jalan raya selepas ia dilaporkan dilanggar di lebuh raya tersebut.
Turut kelihatan keadaan bahagian depan SUV remuk manakala tayar kiri tercabut akibat terlanggar reptilia berkenaan.
Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai keadaan pemandu dan perincian berhubung kemalangan tersebut tidak diketahui.
Insiden jarang berlaku mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen, dengan kebanyakan pengguna Facebook bersimpati dengan nasib pemandu dan juga reptilia itu.
Ada juga yang keliru, mempersoalkan bagaimana pemandu boleh tidak menyedari kehadiran buaya berkenaan di lebuh raya tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!