[VIDEO] Dua dekad tsunami: Penduduk Kota Kuala Muda imbau tragedi, masih trauma
KUALA MUDA - Tanggal 26 Disember 2004, berlaku gempa 9.1 pada skala Richter menjadikan ia antara gempa terkuat dalam sejarah moden.
Susulan gempa tersebut berlaku ombak tsunami yang membadai keseluruhan rumah yang terletak di pesisir pantai Kota Kuala Muda.
Hari ini, genap 20 tahun tragedi tsunami yang pasti meninggalkan kesan mendalam buat mangsa, apatah lagi ada yang kehilangan ahli keluarga akibat kejadian itu.
Biarpun sudah dua dekad berlalu, bagi Che Man Ahmad, 66, dia tidak pernah melupakan tragedi itu kerana kakak sulungnya menjadi antara 12 mangsa yang terkorban di Kota Kuala Muda.
Menurut Che Man, ketika kejadian, kakaknya Normah Ahmad yang ketika itu berusia 50-an, sedang mengenakan telekung untuk menunaikan solat Zohor.
“Kakak saya, dia pakai kain telekung, dan saya tidak pasti sama ada dia baru sudah sembahyang atau baru nak sembahyang.
“Tapi Arwah kakak sempat bagi tahu semua anak-anak supaya lari selamatkan diri dan selepas dia jerit tu, air tsunami terus hentam dan kakak hanyut ke dalam hutan.
“Selepas dia hanyut, petang tu saya dengan pasukan penyelamat cari dan jumpa kakak sudah meninggal,” katanya ketika ditemui di Kampung Tepi Sungai atau lebih dikenali sebagai Kampung Kepala Jalan.
Katanya, ketika hentaman pertama tsunami kira-kira jam 1.20 petang, dia berada di halaman rumah dan ombak tidak begitu kuat.
Namun, selepas 10 minit iaitu kira-kira jam 1.30 petang, ombak datang begitu kuat membadai segala yang ada di luar dan di dalam rumah.
Dia turut hanyut dibawa arus deras, namun takdir Allah, dia sempat mencapai pokok mangga manakala lima orang anak dan isterinya yang berada di dalam rumah turut dibawa arus deras dan sempat berpaut pada pelepah pokok kelapa dan pokok nipah.
Che Man yang bekerja sebagai nelayan berkata, ketika tragedi itu, dia hanya tenggelam timbul sebelum dapat berpaut pada pokok dan di fikirannya hanya mengingati mati.
Kejadian hitam itu meninggalkan trauma yang tidak dapat dilenyapkan dari ingatan sehingga ke akhir hayat.
Katanya, selepas 20 tahun, segalanya masih segar dalam ingatan dan sangat berharap ia menjadi pengajaran buat semua agar lebih peka dengan keadaan cuaca dan perubahan alam.
“Bila trauma tu kita jadi panik, fikiran kita asyik teringat ahli keluarga dan rumah.
“Selepas kejadian tu, lama juga dia nak hilang... masih teringat juga kejadian tsunami tu.
"Apabila nampak macam ribut, air laut bergelora, alun kuat, terasa trauma bimbang kejadian tsunami akan berulang lagi,” ujarnya.
Turut menyingkap kembali hari kejadian, Idris Husin, 71, yang ketika itu sedang berkelah di pesisir pantai bersama isteri dan anaknya.
Idris yang bertugas sebagai bilal masjid berkata, sebelum gulungan ombak setinggi 3.9 meter membadai daratan, dia terlihat kejadian pelik apabila air surut sehingga menampakkan pasir laut sejauh satu kilometer.
Merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku, dia yang membahasakan diri sebagai Pak Ngah melaungkan azan.
Namun, tidak sempat menghabiskannya, gulungan ombak itu terus membadai tempat dia berdiri.
“Azan-azan tu air terus datang dengan laju, tapi air mula tu dalam dua kaki tinggi, makanan habis berselerak, anak-anak semua menangis sambil jerit ‘mati lah kita’.
“Saya dengan isteri dan anak-anak lari masuk dalam kampung. Bila masuk kampung, ada sebuah rumah, terpaksa kami 15 orang naik atas rumah dua tingkat duduk di atas tu. Dengar air reda senyap sepi, lepas tu kami turun.
“Sebelah rumah tu ada rumah dua tingkat, ada sepuluh orang di dalam rumah tu, jadi kami semua seramai 25 orang berlindung di atas tu.
"Masing-masing berzikir dan masa tu macam-macam dengar, kata 'matilah kita hari ni'. Bunyi ombak cukup kuat dan dalam sekelip mata kami nampak ombak besar badai habis depan, bawa hanyut semua ke dalam hutan,” katanya.
Menurut Idris, dalam kejadian itu, 12 penduduk terkorban termasuk ada yang meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.
Mangsa yang dipindahkan ketika itu seramai 4,278 orang dan rumah yang rosak adalah sebanyak 87 buah, sementara jumlah perahu nelayan yang rosak ialah 309 buah, serta sebanyak 173 kereta turut musnah.
Bencana tsunami yang melanda 20 tahun lalu banyak memberi pengajaran bagaimana mereka perlu bangkit segera daripada bencana, seterusnya meneruskan kehidupan seperti biasa. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!