JPJ lancar operasi khas 'Gempur Teknikal' tumpu kenderaan perdagangan
PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Operasi Khas 'Gempur Teknikal' di seluruh negara bermula Rabu bagi menyita dan lucut hak terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi khas itu digerakkan susulan beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan.
Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, beliau berkata, pemilik syarikat atau kenderaan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya lain.
Tegas beliau, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000.
"Tindakan atas kesalahan tersebut, kenderaan yang terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan boleh dilucut hak sekiranya sabit kesalahan.
"Menerusi Operasi Khas 'Gempur Teknikal' di seluruh negara, pihak JPJ akan menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan melibatkan beberapa kesalahan utama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kata beliau, kesalahan tersebut melibatkan lebih muatan, kesalahan teknikal serta dokumentasi, lalu lintas serta kesalahan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.
Jelasnya, tindakan tegas akan dilaksanakan dan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan.
"Ia melibatkan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," ujarnya.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara.
Tegas beliau, JPJ memandang serius dengan trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!