Seorang remaja lemas, dua lagi hilang ketika mandi pantai

Pasukan bomba cuba melakukan CPR kepada mangsa namun tidak berjaya diselamatkan dalam kejadian lemas di Pantai Bundusan Kampung Bundusan, Papar.
Pasukan bomba cuba melakukan CPR kepada mangsa namun tidak berjaya diselamatkan dalam kejadian lemas di Pantai Bundusan Kampung Bundusan, Papar.
A
A
A

PAPAR - Seorang remaja lelaki lemas manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak hilang ketika mandi di Pantai Bundusan Kampung Bundusan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, remaja berusia 14 tahun ditemukan meninggal dunia manakala dua lagi lelaki berusia 48 tahun dan lapan tahun belum ditemui sementara seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 petang.

"Terdapat empat mangsa lemas semasa melakukan aktiviti mandi di pantai dan terdapat seorang daripadanya berjaya ditemui oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba.

"Sebaik tiba di lokasi, bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan bersama pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Katanya lagi, pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang.

"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa berhubung keadaan mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!