Saifuddin kongsi inisiatif bela nasib anggota beruniform
KUALA LUMPUR - Pelbagai inisiatif diwujudkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan kebajikan anggota uniform sentiasa dijaga dan terbela.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif berkenaan termasuklah melaksanakan 26 projek penambahbaikan pejabat dan kuarters melibatkan lapan agensi di bawah KDN.
Menurutnya, ini termasuklah kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM),Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Insentif turut diberikan kepada anggota yang mengendalikan anjing dan teknikal. Malah detektif dan penguat kuasa Maritim Malaysia turut menerima insentif yang sama,”
“Alhamdulillah, saya telah usahakan beberapa inisiatif buat anggota beruniform di bawah KDN semenjak dua tahun saya memegang tangggungjawab ini,” katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Saifuddin berkata, ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dilantik sebagai Menteri KDN.
"Ini merupakan inisiatif sepanjang 2024 yang telah dijalankan bagi menambah baik kebajikan buat team 'Hero Tak Didendang' KDN ini.
“Perdana Menteri mahu pastikan kebajikan anggota uniform sentiasa dijaga dan terbela. Insya-ALLAH komitmen Kerajaan Madani ini akan saya teruskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!