Bot terbalik, lelaki hilang diserang buaya
KINABATANGAN - Seorang lelaki diserang buaya selepas bot yang dinaiki bersama tiga lagi rakan sekerjanya terbalik dalam kejadian di Sungai Kampung Bilit di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Maznin Kahar, 40, belum ditemui manakala tiga lagi yang lain sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 tengah hari.
Katanya, seramai tiga anggota dengan dibantu pasukan polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 52 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Menurut maklumat daripada waris mangsa, mangsa bersama tiga rakan sekerja menaiki sebuah bot yang membawa muatan kayu belian.
"Ketika dalam perjalanan ke tempat pemunggahan, tiba-tiba bot yang mereka naiki terlanggar suatu objek menyebabkannya terbalik dan karam.
"Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri ke tebing, manakala seorang mangsa meminta bantuan kerana merasa dirinya diserang buaya namun tidak dapat berjaya diselamatkan oleh rakannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Nurul Azlan Shah berkata, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan sebuah bot milik penduduk kampung.
"SAR dilakukan dengan radius pencarian satu kilometer dari mangsa dilaporkan hilang dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan sungai bersama agensi lain dan penduduk kampung.
"Mangsa masih belum ditemui setakat ini dan operasi ditangguhkan pada jam 5.39 petang.
"Operasi akan disambung esok dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!