Kematian kucing di UM: Polis rakam keterangan 7 individu
KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung kematian kucing di Universiti Malaya (UM) di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah merakam keterangan pensyarah dan penuntut universiti itu.
"Kita juga telah merakam keterangan seorang aktivis haiwan berkenaan kenyataan yang dikeluarkan berhubung kematian kucing tersebut.
"Bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember lalu telah diserahkan kepada pihak polis oleh aktivis tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Rusdi berkata, bangkai kucing tersebut telah dihantar ke Makmal Veterinar bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat pada Jumaat.
"Bangkai kucing yang ditemui pada semalam (Rabu) di tempat letak kereta Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, universiti berkenaan turut dihantar ke Makmal Veterinar untuk proses yang sama," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan siasatan polis mendapati kematian kucing di UM baru-baru ini dipercayai akibat serangan anjing liar.
Terdahulu tular di media sosial mengenai seekor lagi kucing ditemui mati dengan keempat-empat kaki hilang di UM.
Rabu lalu, media melaporkan dua ekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM bukan akibat perbuatan kejam manusia, sebaliknya diserang anjing liar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!