Lari sekatan jalan raya sebab bawa dadah, senjata elektrik

Keadaan kereta peronda polis dan kereta dinaiki suspek yang mengalami kerosakan. Foto PDRM
Keadaan kereta peronda polis dan kereta dinaiki suspek yang mengalami kerosakan. Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan dua suspek melarikan diri daripada sekatan jalan raya secara melawan arus terbongkar apabila pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria menemukan dadah serta senjata elektrik.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihak polis telah mengejar kenderaan suspek yang cuba lari daripada sekatan jalan raya di Kilometer 16, Lebuhraya Damansara Puchong, di sini pada Khamis, jam 11.32 pagi.

Beliau berkata, dalam usaha menahan kereta berkenaan, suspek telah bertindak melanggar kereta peronda polis dan sebuah motosikal yang ditunggang oleh orang awam.

Kata beliau, suspek akhirnya berjaya ditahan di Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara, dekat sini.

"Hasil pemeriksaan dijalankan, kedua-dua suspek adalah lelaki warga tempatan.

"Suspek pertama yang merupakan pemandu kenderaan berusia 30 tahun dan semakan rekod jenayah mendapati dia mempunyai 11 rekod jenayah serta lima rekod jenayah narkotik.

"Suspek kedua yang merupakan penumpang kenderaan yang sama berusia lingkungan 29 tahun dan mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, sejumlah dadah dipercayai jenis syabu dengan anggaran berat 12.87 gram telah ditemukan dalam kenderaan suspek bersama senjata dipercayai jenis 'elektric shock wave'.

Artikel Berkaitan:

Ekoran penemuan itu, katanya, kedua-dua suspek telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Tambah beliau, siasatan kes dibuka di bawah Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah atau orang mencurigakan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!