Mangsa kedua lemas di pantai ditemukan meninggal dunia
PAPAR - Mangsa kedua lemas ketika mandi di pantai ditemukan terdampar oleh pasukan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di Pantai Bundusan Kampung Bundusan di sini pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, mangsa lelaki berusia tujuh tahun ditemukan pada jam 6.56 petang dan merupakan sepupu kepada mangsa pertama yang ditemukan meninggal dunia.
"SAR diteruskan dan akhirnya mangsa kedua ditemui terdampar di tepi pantai sejauh sekitar 20 meter selepas dibawa ombak.
"Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia dan setakat ini seorang lagi mangsa lelaki berusia 48 tahun iaitu bapa saudara kedua-dua mangsa belum ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, SAR ditangguh jam 9.30 malam disebabkan keadaan gelap dan pantai berombak.
"SAR mangsa terakhir disambung semula jam 7 pagi esok," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas, manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak hilang ketika mandi pantai.
Dalam kejadian itu, terdapat seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun sempat diselamatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!