Sukar lupakan tragedi hitam Terowong Muassim
SEPANJANG pengalaman 50 tahun dalam pengurusan haji dan umrah serta pengendalian jemaah di Tanah Suci, insiden jemaah haji terpijak dalam terowong begitu berbekas dalam sanubari Datuk Md Daud Che Ngah.
Saat tragedi hitam yang mengorbankan 1,426 jemaah di dalam Terowong Muassim di Mina itu berlaku pada 2 Julai 1990, Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz Daud betul-betul berada di luar terowong.
Suara jeritan jelas kedengaran dari dalam terowong. Ketika itu, mantan Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji (TH) tersebut menjelaskan, laluan masuk dan keluar hanya satu terowong sahaja untuk jemaah pergi melontar.
“Apabila yang sudah siap melontar dan mahu pergi melontar bertembung lalu di terowong sama enggan mengalah, akibatnya berlaku rempuhan. Ramai yang meninggal dunia termasuk jemaah haji Malaysia.
“Mayat bertimbun. Satu perkara lagi, kami terpaksa ulang-alik ke hospital selama 20 hari bagi mengesan jemaah haji Malaysia dan buka peti mayat satu per satu untuk mengecam jenazah,” imbasnya.
Cerita pengasas dan Pengarah Urusan Bin Daud Sdn Bhd itu lagi, tugas tersebut tidak mudah lantaran sistem lencana belum wujud.
Ia menyebabkan kesukaran untuk melakukan kerja-kerja tersebut, ditambah pula dengan kecederaan pada jenazah.
“Ketika itu, dilaporkan terdapat kehilangan beberapa orang jemaah haji Malaysia yang saya tidak ingat bilangannya, tetapi hanya beberapa orang saja yang saya cam itu betul (jenazah mereka), yang lain sukar dikenal pasti.
“Akhirnya Parlimen memutuskan, sekiranya seseorang itu tidak kembali dalam tempoh tujuh tahun, dia diisytiharkan telah meninggal dunia dan boleh diagihkan harta pusakanya, manakala jika orang itu bekerja dengan kerajaan, waris boleh memohon pencennya,” katanya.
Hampir berhenti kerja
Pertanyaan demi pertanyaan akhirnya membongkar kisah Ustaz Daud yang nyaris berhenti kerja daripada TH akibat salah faham.
Ketika beliau ditugaskan menjaga dua jemaah sakit di hospital di Makkah, salah seorang daripadanya menanggalkan kain ihram dan lencana untuk ke bilik air.
Kebetulan terdapat seorang lagi jemaah lain yang kritikal tiba di hospital pada masa itu. Dia tidak memakai lencana, lalu petugas mengambil kain ihram dan lencana yang ditinggalkan jemaah tadi untuk mendapatkan rawatan.
“Jemaah kritikal itu meninggal dunia tidak lama kemudian dan lencana tersebut diserahkan kepada saya. Saya pun buat laporan kematiannya kepada pegawai pendaftaran negara.
“Beberapa minggu kemudian, dapat berita individu (pemegang lencana asal) masih hidup, tapi saya melaporkannya sudah mati. Selepas siasatan, barulah saya tahu ceritanya.
“Saya hampir dikenakan tindakan tatatertib kerana kesilapan itu. Sampai sekarang saya masih simpan lagi surat (tatatertib) itu,” ceritanya.
Impian
Sempat juga penulis tanyakan tentang resipi kejayaan Ustaz Daud mampu bertahan dalam industri perkhidmatan haji dan umrah hingga kini.
Ujar bapa kepada empat anak itu, kerja beliau hanya memikirkan untuk membantu jemaah, selain tidak mencari musuh.
Dirinya berpegang teguh dengan ayat al-Quran dalam ayat ketujuh surah Muhammad: ‘Jika kamu menolong (agama) ALLAH, nescaya DIA akan menolongmu’.
“Saya tidak akan tolak jika ada jemaah buat rayuan. Pernah sekali orang sakit jantung datang merayu-rayu pada saya mahu tengok Kaabah sebelum meninggal, tapi doktor tak benarkan.
“Akhirnya saya minta doktor tulis ‘Dicadangkan oleh Ustaz Md Daud Che Ngah, Pengarah TH Wilayah Persekutuan’ walaupun doktor berat mahu luluskan. Dapatlah juga jemaah tadi ke Makkah dan kembali dengan selamat ke Malaysia. Bayangkan kalau tidak dibantu, bukan saja jemaah itu, saya juga akan rasa menyesal,” katanya.
Mengenai tip kesihatan pula, kongsi penceramah tersohor itu, sebaiknya patuh sahaja pada setiap panduan yang diberi, cukup tidur, tidak terlalu susah hati dan mencari jalan keluar, selain elak berhutang serta makan makanan sihat.
Sebelum mengakhiri wawancara, ada dua perkara yang mahu dilaksanakan selagi hayat dikandung badan.
Pertama, beliau mahu menyiapkan buku ensiklopedia haji dan kedua bingkisan berkaitan cerita yang tidak diungkap sepanjang penglibatannya dalam industri haji serta umrah.
“Bila ALLAH kurniakan umur saya 65 tahun ke atas, tiada apa yang dipinta selain memohon untuk meninggal dalam keimanan,” ungkapnya.
PROFIL
Nama: Datuk Md Daud Che Ngah
Umur: 78 tahun
Tarikh lahir: 17 Februari 1946
Tempat kelahiran: Baling, Kedah
Adik-beradik: Anak ketiga daripada enam beradik
Pendidikan:
- Bidang usuluddin di Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya (1969-1971)
- Bidang ekonomi Islam (kursus jangka pendek) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1986)
Pengalaman kerja:
- Guru agama di Sekolah Menengah Undang Jelebu, Negeri Sembilan
- Mantan Pengurus Besar Tabung Haji
- Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd
- Pengasas dan Pengarah Bin Daud Sdn Bhd
- Ahli muzakarah ibadah haji peringkat kebangsaan
Pencapaian:
- Dianugerahkan Pingat Pengakuan Negara (PPN)
- Dianugerahkan Bintang Cemerlang Kedah (BCK)
- Tokoh Pimpinan Islam sempena Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 1992
- Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) dengan gelaran Dato' pada 2004
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!