Libatkan pempengaruh, selebriti dalam kempen pendidikan cegah rasuah
SHAH ALAM - Penglibatan pempengaruh atau selebriti yang mempunyai personaliti dan latar belakang bersih boleh digunakan dalam kempen pendidikan bagi mencegah kegiatan rasuah yang mungkin akan meningkat pada tahun seterusnya.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, kumpulan berkenaan memainkan peranan penting untuk menjamin masyarakat khususnya golongan muda tidak terlibat dengan aktiviti keji itu.
“Kempen pendidikan ini boleh selitkan unsur yang lebih interaktif bagi menarik minat anak muda.
“Bagi aspek pencegahan pula perlu digerakkan secara menyeluruh dan tidak memfokuskan perkhidmatan awam serta ahli politik.
“Bahkan, ia perlu merangkumi ahli perniagaan yang besar-besar atau agensi swasta,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebagai rekod, data yang dikeluarkan laman rasmi SPRM menunjukkan statistik penangkapan pelaku rasuah sepanjang 2024 meningkat kepada 1,308 berbanding tahun sebelumnya iaitu 1137 orang.
Jumlah tersebut berdasarkan penangkapan dalam sektor penjawat awam iaitu pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional dan sokongan serta melibatkan swasta dengan orang awam.
Selain itu, Zairudin menyarankan untuk rakyat mengubah mentaliti ‘tidak apa’ memandangkan kegiatan keji itu tidak wajar dinormalisasikan.
Ujarnya, kerjasama erat antara masyarakat dengan pihak berkuasa menerusi pelaporan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa dapat membentuk negara lebih berintergriti.
“Oleh itu, hukuman berat perlu dilaksanakan kepada pelaku termasuklah hukuman penjara lebih lama dan pelucutan jawatan serta harta yang diperoleh melalui aktiviti itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!