Memperingati bencana tsunami 20 tahun

Saudara mara mangsa tsunami mengadakan majlis doa selamat di tapak pusat kesihatan yang musnah di Banda Aceh. - AFP
Saudara mara mangsa tsunami mengadakan majlis doa selamat di tapak pusat kesihatan yang musnah di Banda Aceh. - AFP
A
A
A

BANDA ACEH - Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara yang diadakan di seluruh negara Asia Tenggara bagi memperingati 220,000 mangsa bencana tsunami yang terkorban dua dekad lalu.

Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di hujung barat Indonesia pada 26 Disember 2004, menghasilkan beberapa siri ombak setinggi 30 meter dan melanda 14 pantai di Indonesia sehingga ke Somalia.

Di Wilayah Aceh, Indonesia telah menyaksikan 100,000 orang terbunuh di mana sebelum itu siren amaran dibunyikan di Masjid Raya Baiturrhman dan kemudian di Sri Lanka, India dan Thailand, yang dilanda tsunami beberapa jam kemudian.

Menceritakan kisah seram dan keajaiban dapat bertahan hidup semasa bencana paling buruk dalam lipatan sejarah dunia, kebanyakan mangsa menyatakan ia seperti berlakunya 'kiamat' atau bumi musnah sepenuhnya.

"Saya fikir ia seperti kiamat di mana pada hari kejadian ketika kami sekeluarga sedang ketawa bersama, tiba-tiba satu bencana melanda dan semuanya hilang," kata Hasnawati, seorang guru berusia 54 tahun yang ditemuramah ketika berasa di salah sebuah masjid Indonesia yang rosak teruk akibat tsunami.

Sementara itu di kawasan perkuburan besar terletak di Siron, Aceh di mana kira-kira 46,000 orang dikebumikan menyaksikan saudara-mara mangsa hadir bagi membacakan doa selamat kepada mangsa tsunami.

Artikel Berkaitan:

Saudara mara menunggu kereta api 'Queen of the Sea' yang akan membawa mereka ke tugu peringatan yang terletak di Peraliya. - AFP
Saudara mara menunggu kereta api 'Queen of the Sea' yang akan membawa mereka ke tugu peringatan yang terletak di Peraliya. - AFP

Seorang suri rumah warga Indonesia berusia 59 tahun, Khyanisa yang kehilangan ibu dan anak perempuannya sehingga hari ini masih mencari mereka dengan harapan orang paling disayanginya ditemui masih hidup.

"Saya masih melaungkan nama Tuhan dan sehingga hari ini mencari mereka di mana-mana.

"Apabila saya menyedari mereka sudah tiada, hati saya amat sakit dan kadangkala tidak dapat menerimanya walaupun terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Tsunami di Asia Tenggara

Di Thailand, separuh daripada 5,000 mangsa yang maut adalah pelancong asing dan upacara memperingati mangsa yang maut diadakan di Ban Nam Khem, kampung paling teruk dilanda tsunami.

Saudara-mara mangsa dilihat berkumpul di kampung tersebut dan meletakkan bunga di tugu peringatan yang berbentuk gelombang ombak dan tertera semua nama mangsa terkorban.

Napaporn Pakawan, 55, kehilangan kakaknya dan seorang anak saudara dalam tragedi itu.

"Saya berasa sedih sehingga ke hari ini. Saya datang ke sini setiap tahun.

"Walaupun masa cepat berlalu tetapi sebenarnya ia lambat dalam fikiran kita," katanya.

Wanita India menyalakan lilin sebagai memperingati ulang tahun bencana tsunami kali ke-20 di Pantai Pattinapakkan, Chennai. - AFP
Wanita India menyalakan lilin sebagai memperingati ulang tahun bencana tsunami kali ke-20 di Pantai Pattinapakkan, Chennai. - AFP

Sementara itu di Sri Lanka, bencana tsunami mengorbankan lebih 35,000 mangsa turut menyaksikan saudara-mara berkumpul untuk memperingati kira-kira 1,000 mangsa yang maut selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir akibat dipukul ombak.

Mereka yang berkabung menaiki 'Ocean Queen Express' yang menuju ke Peraliya yang merupakan lokasi nahas tersebut di mana ombak setinggi 30 meter membadai kereta api dan turut mencederakan ratusan penumpang lain.

Pada masa sama satu upacara keagamaan ringkas diadakan bersama saudara-mara mangsa di sana bagi memperingati mangsa yang terkorban.

Jumlah korban akibat mangsa tsunami turut direkodkan di India seramai 16,269 orang, Somalia (300), Maldives (100), Myanmar (61) dan Malaysia (75)

Menurut EM-DAT, pangkalan data bencana global, kira-kira 226,408 orang maut akibat bencana tsunami yang berlaku pada 20 tahun lalu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!