Pemilihan FAM: Firdaus tawar diri bertanding Timbalan Presiden
ILTIZAM untuk turut sama merevolusikan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi menjadi pendorong kepada Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menawarkan diri bertanding pemilihan badan induk itu pada 15 Februari depan, lapor ZURAIMEE ZAINAL.
Pada masa sama, Firdaus menegaskan bahawa beliau sudah bersedia merebut 'kerusi nombor dua' di Wisma FAM demi memperkasakan proses pembangunan pelapis bagi memastikan skuad Harimau Malaya tidak ketandusan pemain berkaliber.
Malah, Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) percaya pengalaman peringkat akar umbi sebelum ini mampu membantunya untuk menjayakan apa jua perancangan sekiranya dipilih kelak.
“Arena bola sepak negara kini dalam landasan tepat untuk berubah dan saya sedia berkhidmat ke arah menjayakan perubahan besar berkenaan.
“Insya-ALLAH, saya sedia menyumbang tenaga sekali lagi dengan pengalaman, tekad dan kesungguhan. Ahli gabungan boleh menilai dan pilihlah secara merit,” katanya yang turut meraikan rakan kepimpinan lain untuk bertanding dalam pemilihan FAM kali ini.
Justeru itu, beliau berharap ahli gabungan FAM memanfaatkan peluang proses demokrasi ini bagi meletakkan individu yang menjiwai semangat bola sepak untuk berada dalam barisan kepimpinan FAM.
“Memetik seperti apa yang dikatakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini, baginda mahu orang yang benar-benar mengetahui mengenai bola sepak untuk memimpin FAM,” katanya kepada Sukan Sinar ketika mengesahkan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman sebelum ini berkata, senarai calon yang akan bertanding dalam FAM bagi penggal 2025/29 pada 15 Februari depan akan diketahui hujung Januari depan.
Jelas Azman, FAM sudah menghantar emel notis kongres dan borang pencalonan dengan tarikh tutup pada 16 Januari kepada kesemua ahli gabungannya.
Sebagai rekod, sepanjang berkhidmat dua penggal termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dari 2018-2021 diikuti Naib Presiden FAM hingga kini, Firdaus merupakan individu penting dalam merealisasikan penswastaan Liga Malaysia (Liga-M).
Firdaus yang diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penswastaan Liga-M berjaya memastikan proses pemisahan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC) dilaksanakan semua kelab.
Selain itu, beliau juga yang diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM berjaya memperkemaskan saingan peringkat pembangunan bagi memastikan proses pembekalan pelapis ke skuad Harimau Muda.
Paling menarik perhatian, Firdaus juga antara watak penting mengembalikan semula saingan bola sepak tertua di Asia, Pestabola Merdeka 2023 kali terakhir dianjurkan pada 2013.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!