SSPA: Gaji naik bukan tanda boleh tambah hutang
BERMULA Disember lalu, penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah menerima kenaikan gaji pertama selepas pelarasan di bawah skim tersebut selepas 12 tahun tanpa semakan.
Rata-rata mereka menzahirkan rasa syukur dan gembira di samping berterima kasih kepada Kerajaan Madani kerana mengambil pendekatan untuk menambah baik saraan penjawat awam.
Ini kerana, ramai yang berpandangan bahawa pelarasan itu dapat meringankan beban kewangan bulanan bagi menghadapi kelangsungan hidup yang kian mencabar.
Perkara tersebut turut diakui oleh penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan bahawa kuasa beli penjawat awam akan meningkat susulan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan perbelanjaan isi rumah merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu melebihi 50 peratus.
Pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, penjawat awam mampu untuk berbelanja lebih dalam kategori seperti makanan, pakaian, pendidikan dan kesihatan.
Penerangan tersebut memberi bayangan bahawa penjawat awam yang memilih skim berkenaan kini boleh bernafas lega dalam menjalani kehidupan lebih baik.
Pun begitu, harus diingatkan bahawa kesenangan yang diperoleh kini perlu dipelihara dengan tidak membuat pinjaman berlebihan atau bertindih.
Hal itu telah disuarakan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin yang menyatakan SSPA seharusnya tidak dijadikan alasan untuk penjawat awam menambah pinjaman yang akhirnya akan menambah beban kewangan.
Peringatan berkenaan merupakan satu pesanan yang benar-benar bermanfaat kerana kewangan jika tidak diurus dengan baik, ia akan mengakibatkan seseorang terperangkap dengan masalah tersebut.
Sehubungan itu, jangan disebabkan pelarasan yang membawa kepada kenaikan gaji menyebabkan ada dalam kalangan penjawat awam memilih untuk menambah bebanan hutang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!