Malaysia kekurangan 5,000 pemandu bas

Industri pengangkutan kekurangan 5,000 pemandu bas menyebabkan terdapat syarikat khususnya bagi operasi bas ekspres dan persiaran gagal menyediakan dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh. Gambar kecil: Mohamad Ashfar
Industri pengangkutan kekurangan 5,000 pemandu bas menyebabkan terdapat syarikat khususnya bagi operasi bas ekspres dan persiaran gagal menyediakan dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh. Gambar kecil: Mohamad Ashfar
A
A
A

SHAH ALAM - Industri pengangkutan kekurangan 5,000 pemandu bas menyebabkan terdapat syarikat khususnya bagi operasi bas ekspres dan persiaran gagal menyediakan dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, masalah kekurangan pemandu bas kini semakin kritikal atas beberapa faktor.

Antaranya ramai bakal pekerja berminat menjadi pemandu bas atau lori tidak mampu menanggung kos tinggi untuk mendapatkan lesen memandu kelas E dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas atau Lesen Kenderaan Barangan (GDL) lori.

“Kos untuk dapatkan lesen kelas E antara RM4,000 hinga RM5,000. Jika pemandu nak keluarkan duit sendiri, golongan B40 tidak mampu, golongan M40 pula tidak mahu kerja jadi pemandu bas. Semua itu jadi masalah kepada kita.

“Faktor lain punca kekurangan pemandu bas disebabkan pemandu yang bersara, terdapat juga pemandu khususnya di Johor dan Melaka yang berhijrah untuk bekerja di Singapura dan ada yang meninggalkan industri pengangkutan untuk bekerja di industri lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekangan dihadapi syarikat bas ekspres dan persiaran untuk menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh.

Ia susulan operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di tiga plaza tol di negeri itu pada Rabu mengesan 25 bas ekspres dan persiaran beroperasi dengan hanya seorang pemandu bagi perjalanan melebih 300 kilometer.

Mohamad Ashfar berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan supaya pemandu kedua dibenarkan mengambil alih pemanduan di pertengahan perjalanan seperti dibenarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dahulu.

“Sebenarnya terdapat kekeliruan dalam kalangan pengusaha bas terhadap tafsiran undang-undang kecil melibatkan dua pemandu ini sebab sebelum ini SPAD kata boleh tukar pemandu separuh jalan.

Artikel Berkaitan:

“Tapi disebabkan rayuan kami belum diputuskan, (kami akur) mesti ada dua pemandu waktu memulakan perjalanan lebih 300 kilometer,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia digesa mempertimbangkan cadangan dikemukakan dalam memorandum dihantar sebelum ini agar memberikan latihan kemahiran percuma kepada golongan B40 untuk mendapatkan lesen berkaitan.

Berdasarkan Statistik Pengangkutan Malaysia 2023 yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, terdapat 4,261 buah bas ekspres dan 5,092 buah bas persiaran berdaftar yang aktif pada tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!