Hantaran kahwin simbol kasih sayang, bukan nak tunjuk gah
DISEMBER memang sinonim dengan musim perkahwinan. Pada bulan inilah jemputan kahwin lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.
Ada pasangan yang memilih mengadakan majlis secara kecil-kecilan, hanya dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat. Tidak kurang membuat majlis secara besar-besaran.
Dalam setiap majlis perkahwinan, hantaran pasti menjadi salah satu fokus utama. Tapi apabila sebut pasal hantaran kahwin, ramai yang ikut trend - lagi tinggi hantaran, lagi gah majlis kahwin.
Tidak nafikan, hantaran tinggi memang boleh membuatkan majlis nampak lebih meriah dan mewah, tapi adakah ia penting?
Kerana mahu mengikut kehendak keluarga pasangan, ada bakal pengantin terpaksa berhutang dengan membuat pinjaman peribadi di bank semata-mata untuk menyediakan hantaran yang tinggi.
Mereka berusaha gigih, bekerja keras namun kerana tidak mencukupi, terpaksa berhutang pula keliling pinggang. Selesai majlis kahwin, terus dibebani dengan hutang yang tidak berkesudahan.
Bayangkan, sampai sudah ada tiga anak tetapi pinjaman peribadi untuk dijadikan wang hantaran masih belum habis dilunaskan. Akhirnya kehidupan menjadi lebih rumit apabila dibelenggu masalah kewangan.
Bagi Merak Jalanan, hantaran adalah simbol kasih sayang, bukan bebanan. Ia adalah satu cara untuk menunjukkan keikhlasan hati, bukan bersaing dengan orang lain atau semata-mata mahu memenuhi jangkaan masyarakat.
Perkahwinan adalah mengenai kebahagiaan bersama dan bukan sekadar soal wang hantaran atau majlis yang gah.
Bagi Merak Jalanan, kita harus bersederhana dalam menganjur majlis perkahwinan, tetapi memberi cinta dan komitmen yang tinggi dalam kehidupan selepas berumah tangga.
Oleh itu, jangan biarkan adat atau trend menguasai diri. Binalah perkahwinan yang berlandaskan kasih sayang, bukan tekanan kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!