Pempengaruh semakin tidak dipercayai
PERCUTIAN ke Korea yang sepatutnya penuh dengan kenangan manis, bertukar menjadi mimpi ngeri kepada mangsa-mangsa pakej pelancongan seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial.
Walaupun sudah ada ‘bunga-bunga’ isu berkaitan perkhidmatan individu tersebut yang tidak memuaskan, rupanya ramai yang sudah menempah pakej, masih meneruskan rancangan sambil ‘bersangka baik’ bahawa ia pasti akan diperbaiki.
Namun, semuanya meleset kerana isu tersebut menjadi lebih rumit apabila terdapat individu yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pempengaruh berkenaan yang ketika itu masih gagal memberi tiket penerbangan walaupun akan terbang ke Korea dalam tempoh dua minggu lagi.
Hari demi hari, isu tersebut terus berlarutan apabila semakin ramai mangsa yang mendedahkan masalah yang mereka lalui. Mereka hanya memperoleh tiket perjalanan pergi dalam tempoh kurang 24 jam namun tanpa tiket perjalanan pulang.
Timbul juga dakwaan mangsa bahawa pempengaruh berkenaan berhutang dengan 28 individu membabitkan jumlah hampir RM400,000.
Maka, tidak hairanlah mengapa pempengaruh berkenaan menerima kecaman daripada mangsa-mangsa dan netizen yang mengikuti isu tersebut.
Laporan polis juga telah dibuat, manakala pempengaruh yang tinggal di Korea itu juga memberi maklum balas melalui media sosialnya berjanji akan melunaskan hutang-hutang dan mengembalikan duit pakej percutian yang dibatalkan.
Bahkan menerusi siaran langsung penjelasannya di TikTok baru-baru ini, pempengaruh berkenaan merayu agar diberi peluang kedua.
Dia mengakui kesilapannya yang gagal menguruskan kewangan dengan baik disebabkan restoran yang dibuka di Korea mengalami kerugian.
Katanya, salah satu usaha yang akan dilakukan untuk membayar semua hutang-hutang tersebut adalah dengan menjalankan perniagaan melalui TikTok sambil mengharapkan kerjasama daripada pengasas-pengasas produk.
Namun, nampaknya penjelasan yang diberikan masih tidak memuaskan hati mangsa-mangsa terlibat kerana bagi mereka, ‘tak dapat duit balik, jangan percaya’.
Bahkan ramai yang berpendapat agak mustahil untuk semua hutang dijelaskan sebelum Februari 2025 seperti yang dijanjikan.
Bagi penulis, semua mangsa terlibat layak merasakan apa sahaja ketika ini kerana ia melibatkan wang simpanan mereka untuk pergi bercuti yang sepatutnya mencipta memori indah.
Terdapat mangsa yang baru kali pertama mahu ke luar negara, pasport pertama kali dibuat juga semata-mata mahu memenuhi impian sampai ke Korea.
Apa yang berlaku ini tentunya mencalarkan reputasi profesion pempengaruh yang kini semakin menjadi pekerjaan yang diidamkan.
Ia menguatkan lagi laporan hasil kajian terbaharu oleh Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) bahawa pempengaruh kini berada dalam senarai antara profesion paling tidak boleh dipercayai.
Perkara berkenaan didedahkan menerusi kajian ‘Kepercayaan Terhadap Profesion’ yang dijalankan dari 24 Mei hingga 7 Jun lalu membabitkan 23,530 responden secara dalam talian dari 32 buah negara.
Bagi penulis, fenomena ini tidak hanya membabitkan satu individu, tetapi mencerminkan sisi gelap dunia digital hari ini. Ramai yang menganggap kehidupan indah yang dipaparkan di media sosial sebagai aspirasi, sedangkan segala kemungkinan boleh terjadi termasuk yang boleh menjerat diri.
Lebih menyedihkan apabila memikirkan risiko wang yang lesap tidak mungkin kembali kerana proses undang-undang untuk menuntut pampasan atau hutang terlalu panjang dan sering kali tidak berbaloi.
Jadi, masihkah perlu beri peluang kedua kepada pempengaruh itu, atau biarkan sahaja undang-undang melaksanakan tugasnya?
Apa pun bagi penulis, dalam dunia serba digital ini, kita sebagai pengguna harus lebih berhati-hati kerana setiap tindakan kita ada risikonya. Ingat, tidak semua yang bersinar itu emas.
Buat pempengaruh, jika anda benar-benar jujur dan ikhlas untuk selesaikan semua isu berbangkit, semoga ujian ini memberi pengajaran kepada anda. Semoga segala urusan mangsa untuk mendapat keadilan dan memperoleh semula wang dipermudahkan.
Penulis berharap isu ini menjadi pengajaran kepada kita semua agar tiada lagi yang ‘mencari’ mangsa atau menjadi mangsa.
* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!