Wan Mustaffa buat laporan rasmi isu tunggakan gaji
BIMBANG isu tunggakan gaji Kuala Lumpur (KL) Rovers yang berlarutan tanpa sebarang bayangan ke arah penyelesaian, pengendali The Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail tampil membuat laporan rasmi terhadap kemelut membelenggu kelab Liga A1 Semi Pro berkenaan.
Menurut Wan Mustaffa, laporan juga dibuat kerana khuatir jumlah sebenar yang tidak tertakluk kepada tunggakan gaji tetapi termasuk bonus dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan hilang sekiranya isu itu dibiarkan berlarutan.
"Saya buat laporan melibatkan tunggakan gaji saya sahaja. Ini kerana saya khuatir hilang pengiraan jumlah sebenar yang perlu dibayar sekiranya masalah ini dibiarkan berlarutan tanpa laporan rasmi.
"Dalam slip gaji terdapat penolakan KWSP tetapi tidak dibayar kepada KWSP sejak tahun lalu. Laporan rasmi juga dibuat meliputi tunggakan gaji, bonus kemenangan dan muncul naib juara Liga M3 musim lalu dan KWSP.
"Laporan juga disahkan peguam pesuruhjaya sumpah dan majikan mengetahui tentang perkara ini.
"Saya harap laporan rasmi ini dapat mendidik pemain-pemain supaya menggunakan saluran yang betul agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya pada Khamis.
Wan Mustaffa sebelum itu mengemukakan laporan kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) serta Bahagian Undang-undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Sebagai rekod, Rovers kini mengumpul 46 mata selepas mengharungi 22 perlawanan Liga A1 Semi Pro hasil 13 menang, tujuh seri dan dua tewas.
Perlawanan terbaharu menentang Imigresen FC pada Khamis, Rovers tewas 0-2 hasil jaring separuh masa kedua Tengku Mohd Norzaiful (m-71) dan Felipe de Lima (m-76).
Mengulas lanjut, Wan Mustaffa berharap pengurusan kelab dapat melaksanakan tanggungjawab dalam menyelesaikan isu dihadapi pasukan berpangkalan di ibu kota itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!