Kerajaan Perpaduan mampu stabilkan suhu politik negara

SAIFUDDIN
SAIFUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Perpaduan yang mentadbir selama dua tahun terbukti berjaya menyumbang kepada kestabilan politik negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu jelas berbanding pentadbiran sebelum ini bermula dari era Pakatan Harapan (PH1.0), Langkah Sheraton, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ia terbukti apabila nada pembangkang yang membawa modal untuk menjatuhkan dan mengambil alih kerajaan sudah berubah sekarang.

No Image Caption

“Kini, mereka persoalkan kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak berjalan dan kenapa nak tarik subsidi? Kenapa Perdana Menteri tidak pergi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)?

“Bila PM lama di luar negara mereka bising, jadi PM skip UNGA, timbul pula Malaysia hilang peluang untuk menyuarakan. PM pergi atau tak, mereka tetap serang. Ini menunjukkan bahawa fokusnya bukan lagi soal mahu ambil alih kerajaan dan ia bermaksud apa? Kerajaan Perpaduan ini compact, solid, united and functioning,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama media baru-baru ini.

Tambahnya lagi, salah satu ketidakupayaan pembangkang ialah gagal menawarkan bajet alternatif.

“Saya dalam pembangkang dah lama tapi jadi kerajaan baru dua tiga tahun. Sejak 2010, kami tak pernah ketinggalan membentangkan bajet alternatif.

Artikel Berkaitan:

“Selalunya kami sediakan dua hari sebelum pembentangan bajet oleh kerajaan. Pernah beberapa kali berlaku perdebatan bajet peringkat dasar yang mana pembangkang membahaskan bajet kami dan bukan bajet kerajaan,” katanya.

Jelasnya, bajet negara mempunyai tiga komponen utama iaitu anggaran pendapatan, perbelanjaan dan angka.

“Apabila jadi ahli Parlimen, kami dibekalkan informasi perbelanjaan kerajaan. ia boleh jadikan basis atau dasar unjuran tahunan cukai dan berapa pendapatan daripada cukai.

“Yang itulah patut dijadikan strategi belanjawan. Kita tidak kata pembentangan belanjawan tetapi pembentangan strategi belanjawan,” katanya.

Ujarnya, jika pembangkang ada bajet sendiri, barulah perdebatan dalam Parlimen itu menjadi matang dan tidak sehala.

“Maksudnya, pembangkang akan pertikaikan setiap angka, dasar dan strategi tapi mana tawaran mereka?

“Ia menunjukkan bahawa pembangkang hari ini tidak berupaya. Bilangannya besar iaitu lebih 70 ahli Parlimen tetapi tidak mampu menghasilkan strategi belanjawan,” katanya.

Fokus dan kesepakatan

Saifuddin berkata, selepas dua tahun rakyat dilihat semakin jelas dengan fokus Perdana Menteri iaitu merancakkan atau memakmurkan ekonomi.

“Perdana Menteri tumpukan kepada keadilan pengagihan kepada rakyat dan semua ini tidak akan dapat dicapai kalau negara tidak mempunyai tatakelola yang baik.

“Sebab itu beliau gabungkan semua. Hentikan penyelewengan, ketirisan dan elak amalan rasuah. Dua tahun ini Kerajaan Perpaduan berjaya menunjukkan hala tuju yang sangat jelas kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Perpaduan juga mempunyai kelebihan menerusi kesepakatan 18 parti yang bergabung di bawahnya.

“Apa yang berlaku adalah apabila bentuk gabungan pada waktu itu, seminggu selepas Kabinet dibentuk menteri ada retreat.

“Kita adunkan manifesto PH, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak kemudian kita asingkan ikut tiga petak.

“Petak pertama, manifesto yang menemukan konsensus manakala petak kedua pula manifesto yang tidak konsensus.

Tambahnya, petak ketiga pula adalah tawaran manifesto yang mempunyai jurang dan membezakan antara satu sama lain.

“Dalam retreat ini saya bentangkan bahawa menggubal dasar kerajaan Madani ini fokus kepada pelaksanaan manifesto yang mana 18 parti ada titik pertemuan. Itulah soal kebajikan rakyat dan menyusun semula ekonomi serta mengolah dasar ekonomi Madani.

“Gabungan manifesto ini menjadi panduan ke arah menggubal dasar sebuah kerajaan yang namanya kerajaan Madani dan ia sudah berjaya disepakati dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Hala tuju PKR dalam Kerajaan Perpaduan

Mengulas lanjut mengenai hala tuju PKR dalam Kerajaan Perpaduan Saifuddin berkata, parti tersebut akan menghadapi pemilihan parti pertama di dalam kerajaan.

Menurutnya, ujian terbesar adalah berkait dengan integriti seperti mana pernah dilalui oleh parti yang menjadi kerajaan sebelum ini.

“Masa pemilihan parti tahun hadapan nanti, kami ada sejumlah pimpinan yang memegang jawatan dalam kerajaan

“Tapi saya yakin PKR boleh membezakan isu integriti termasuk tidak melakukan penyalahgunaan kuasa dengan komitmen dan reform.

“Meskipun ia bukan parti terbesar tetapi presidennya itu diterima oleh semua termasuk direstui oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tambah Saifuddin, hala tuju parti itu akan akan kekal komited dengan 17 agenda reform yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Keadilan akan kekal mendukung gabungan 18 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk bergerak ke arah dua perkara Iaitu mengekalkan pemerintahan untuk penggal kedua berdasarkan kepada formula sekarang,” kata beliau lagi.

PKR tidak berada dalam dilema

Katanya, PKR bebas untuk membincangkan perkara berkaitan dengan institusi Melayu bersama jemaah menteri yang mewakili semua parti dengan keputusan dibuat secara bersama.

“Contohnya kita bincang tentang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kini tidak lagi gah. Dulu, koperasi Felda kedua terbaik dalam negara selepas Bank Rakyat.

“Perkara ini kami bincang dalam Kabinet dan tentunya akan ada sebab serta akibat. Semua pihak boleh beri pandangan dan akhirnya satu keputusan dibuat,” katanya.

Jelasnya, PKR tidak berada dalam dilema untuk membincangkan isu Melayu kerana selama ini parti itu telus membincangkannya bersama rakan-rakan lain.

“Contoh kita bincang soal Lembaga Tabung Haji (TH) yang memainkan dua peranan iaitu menguruskan jemaah haji dan perniagaan dengan diversifikasi sangat luas yang memiliki beratus syarikat. “Tetapi bila prestasi tak bagus TH terpaksa dialihkan sebahagiannya kepada special purpose vehicle parking bawah Kementerian Kewangan,” katanya.

Jelasnya dari segi ekonomi pula, kerajaan berikan bantuan berasaskan kepada keperluan, bukan warna kulit.

“Tanpa berselindung, Melayu miskin kita tolong, Cina miskin kita bantu, India miskin kita bela. Malah Iban, Dayak serta Kadazan yang miskin pun sama-sama kita dukung. Kita bantu berasaskan keperluan. Bila kita tengok data kemiskinan masih lagi didominasi orang Melayu.

“Kita kata dasar kita basmi kemiskinan tapi the biggest beneficiary will be the Malays because they are the biggest jadi sudah tentu ia tetap diberi perhatian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!