Tanam padi di halaman rumah
KOTA TINGGI - Halaman rumah seorang peneroka di Felda Air Tawar 3 di sini, yang dipenuhi dengan tanaman padi di dalam polibeg terus menjadi tumpuan selepas ia tular di media sosial.
Hamson Sariman, 68, berkata, tanaman padi yang diusahakan bersama isteri, Rosni Mohd Yusof, 67, sejak lebih setahun lalu tidak menghampakan dengan hasil padi yang dituai menjadi santapan ahli keluarga.
Menurut beliau, peluang menyaksikan sendiri sawah padi yang menghijau di Sekinchan, Selangor pada tahun lalu, memberinya idea untuk menanam sendiri padi di halaman rumah.
"Pada peringkat permulaan awal tahun, saya gunakan 200 gram benih padi jenis hibrid yang diberikan seorang kenalan dari Kedah.
"Berbekalkan video cara penanaman padi di YouTube dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan Facebook, saya mulakan tanam kira-kira 100 pokok padi secara berperingkat di sekeliling rumah dalam pasu dan polibeg," katanya.
Hamson yang juga Ketua Blok Peringkat 2, Blok 7 Felda Air Tawar 3 memberitahu, selepas tiga bulan, padi ditanam sudah boleh dituai dan menghasilkan kira-kira empat kilogram beras.
"Hasil yang dituai membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan tanaman padi buat kali kedua. Selain itu, Jabatan Pertanian turut menghulurkan bantuan mesin padi.
"Bagaimanapun, tanaman padi kali kedua tidak menjadi. Hampir 200 polibeg padi rosak diserang penyakit," katanya.
Bapa kepada tiga orang anak ini mengakui tidak pernah berputus asa sebaliknya menjadikan kegagalan tersebut sebagai pengajaran untuk membaiki kaedah penanaman padi.
Akuinya, tanaman padi di dalam polibeg tetap ada cabarannya selain perlu kerap disiram dan perlu dijaga dengan racun dan baja.
"Saya teruskan tanam padi untuk kali ketiga dengan menggunakan polibeg dan kanvas. Sebanyak tiga kanvas dengan setiap satu kanvas mempunyai 90 polibeg.
"Syukur ia menjadi kali ini selepas hampir dua bulan dimulakan. Tanaman padi dalam polibeg ini memerlukan tempoh masa tiga bulan sebelum dapat dituai," katanya.
Hamson memberitahu, hasil beras daripada padi yang ditanam seperti agar hancur dan lembut.
Selain itu jelasnya, ramai yang datang untuk melihat sendiri padi ditanam di rumahnya, malah tidak kurang juga ada bertanya mengenai cara penanaman padi untuk dicuba.
"Ada yang datang rumah mahu beli padi yang saya tanam dalam polibeg. Seikhlasnya sahaja bayarannya sebab saya tidak jual padi dalam polibeg itu.
"Banyak kenangan manis sepanjang tanam padi ini, ramai yang datang rumah malah Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pun datang tengok padi saya tanam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!