Harga kelapa naik tetapi masih terkawal - KPDN

Bekalan kelapa di Pulau Pinang diimport dari Indonesia. Gambar hiasan. Gambar kecil: Jegan
Bekalan kelapa di Pulau Pinang diimport dari Indonesia. Gambar hiasan. Gambar kecil: Jegan
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengesahkan harga bagi kelapa, santan dan kelapa parut di seluruh negeri ini masih terkawal.

Pengarahnya, S Jegan berkata, walaupun berlaku peningkatan harga kelapa selepas pemantauan dibuat di seluruh negeri, namun ia masih berada pada tahap yang stabil.

Menurut beliau, pemantauan di empat pengimport utama kelapa di negeri ini mendapati, kenaikan harga kelapa disebabkan oleh kenaikan harga dari Indonesia.

Katanya lagi, pemantauan harian yang membabitkan kelapa, santan dan kelapa parut di seluruh negeri juga telah dibuat oleh Pegawai Pemantau Harga KPDN.

"Pemantauan dilaksanakan di 45 pasar awam, 13 hypermarket dan 18 pasar raya di semua daerah. Selain itu, pemantauan juga dibuat ke atas empat pengimport utama kelapa di negeri ini.

"Kebanyakan mereka menyatakan kenaikan harga kelapa adalah disebabkan oleh kenaikan harga dari Indonesia yang mana, bekalan kelapa di Pulau Pinang kesemuanya diimport dari negara itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambah beliau, kenaikan harga kelapa dari Indonesia adalah disebabkan permintaan tinggi dari Thailand.

"Keadaan itu menyebabkan harga yang diterima di Pulau Pinang adalah tinggi dengan harga kelapa RM2.29 sebiji di peringkat pengimport.

Artikel Berkaitan:

"Ia menyebabkan harga di pasaran bagi kelapa biji dengan purata jualan adalah RM2.90 sebiji, santan kelapa RM12.62 sekilogram dan kelapa parut RM9.30 sekilogram.

"Pemantauan telah dibuat selama tiga bulan ke atas kelapa yang diimport dari Indonesia ini," jelasnya.

Ujar beliau, bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga, KPDN Pulau Pinang telah mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan secara harian di pasar awam, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan pasar raya bagi memastikan harga barangan sentiasa terkawal.

"Pegawai terlibat juga akan menyediakan laporan kepada ibupejabat bagi tujuan pemantauan.

"Tindakan perundangan di bawah kawalseliaan KPDN akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan tidak munasabah pada waktu ini.

"Tindakan akan menggunapakai peruntukan undang-undang antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999," tambahnya.

Jegan berkata, pihaknya juga akan mengaktifkan pusat kawalan penguatkuasaan (ECC) di peringkat ibu pejabat dan seluruh negeri bagi memantau situasi yang berlaku.

"ECC juga berperanan untuk menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga barangan serta kekurangan dan kehabisan barangan keperluan harian.

"Selain itu, kita akan mempergiatkan 'engagement' bersama beberapa pemain industri antaranya FAMA bagi memastikan harga barangan kelapa sentiasa mencukupi di pasaran.

"Kesiapsiagaan pegawai penguatkuasa KPDN sentiasa berada pada tahap terbaik untuk berhadapan dengan sebarang situasi yang berlaku dan yang bakal berlaku," tambahnya.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan kebimbangan terhadap kenaikan mendadak harga kelapa di pasaran di negeri ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati, harga kelapa meningkat secara mendadak iaitu daripada RM2 kepada RM2.50 sebiji.

Menurutnya, lebih mengejutkan, kelapa bersaiz besar boleh mencecah RM3.30 sebiji.

Katanya lagi, kenaikan ini turut memberi kesan kepada harga santan, yang kini dijual antara RM14 hingga RM15 sekilogram, berbanding RM12 sebelum ini.

Harga kelapa parut juga dilaporkan melonjak daripada RM8 kepada RM11 sekilogram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!