'Mampu lihat pokok jagung kering, mati'
KUALA KRAI - Seorang penanam jagung di Kampung Jelutar Temalir hanya mampu melihat tanamannya seluas 0.8 hektar yang sudah matang mati selepas ditenggelami banjir.
Siti Zubaidah Che Mahmud, 39, jagung sepatutnya dituai dalam tempoh seminggu lagi namun hujan lebat mengakibatkan air memenuhi kawasan kebun berkenaan.
Menurutnya, banjir luar biasa menyebabkan kebun dinaiki air setinggi lebih dua meter yang turut menenggelamkan sebahagian ruang bawah kediamannya.
"Lebih tujuh rakan saya yang lain turut mengalami nasib yang sama kerana jagung itu hanya menunggu masa untuk dituai," katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.
Siti Zubaidah memberitahu, akibat musibah itu dia mengalami kerugian lebih RM3,000.
"Jagung memang mendapat sambutan menggalakkan di daerah ini, namun bentuk muka bumi dan cuaca mungkin menyukarkan kami mengekalkan tanaman ini untuk sentiasa berada dalam keadaan terbaik," katanya.
Jelasnya, selain penyakit hawar pada bulan Disember, mereka berdepan dengan banjir kerana kebun hanya beberapa meter dari Sungai Temalir manakala musim kemarau pula diuji serangan ulat.
Bagaimanapun, Siti Zubaidah yang sudah lima tahun mengusahakan kebun jagung tidak pernah berputus asa meneruskan penanaman jagung kerana sambutan penduduk.
Katanya lagi, tapak tanaman juga mengambil masa lebih dua bulan untuk kering sepenuhnya bagi membolehkan pokok jagung ditanam.
"Buat masa ini kami semua perlu menunggu tanah kering selain kekurangan modal untuk memulakan semula tanaman ini.
"Sebelum ini jualan jagung digunakan sebagai modal pusingan namun akibat banjir saya perlu memikirkan semula perkara itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!