Pempengaruh Nazirul Hakim meninggal dunia
SHAH ALAM - Pempengaruh yang popular dengan perkongsian kandungan suasana kampung, Muhammad Nazirul Hakim Arman meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman pada malam Khamis.
Berita pemergian personaliti media sosial berusia 29 tahun itu dikongsi rakannya, Mohd Fairuz Abu atau lebih dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi menerusi hantaran di Facebook.
"Telah pergi sahabat saya Nazirul Hakim Arman ke negeri abadi jam 10 lebih malam tadi. Dari awal Disember beliau telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman.
"Teringat saya permusafiran bersama beliau di Semporna beberapa tahun lepas ketika menjalankan misi kemanusiaan. Masa tu kami duduk sebilik. Bila saya bercerita, beliau diam je mendengar dengan minat.
"Tapi bila beliau berkongsi tentang rumah kampung, binaan rumah dulu-dulu, masa tu wajahnya kemain ceria. Passion sungguh Nazirul dengan benda-benda macam tu, MasyaALLAH!," tulis penceramah motivasi itu pada Jumaat.
Akhi Fairuz turut menyifatkan Allahyarham Nazirul Hakim sebagai sahabat yang baik dan mudah didekati kerana sifatnya yang lemah lembut.
"Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiuun. Semoga syurga buatmu sahabat. Amin Ya Rabb," katanya.
Berita pemergian Allahyarham Nazirul Hakim yang mempunyai lebih 187,000 pengikut di Instagram turut mendapat perhatian warga maya terutama rakan-rakan yang mengenalinya.
Pada Oktober lalu, Allahyarham Nazirul Hakim dianugerahkan Key Opinion Leader Of The Year Award oleh kerajaan Perak melalui Tourism Perak atas sumbangnya mempromosikan pelbagai lokasi menarik di negeri berkenaan melalui media sosial miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!