Perkasa ekonomi ummah melalui agihan zakat

16 skim disediakan MAINS kepada golongan asnaf ringankan beban hidup

USTAZ ABDUL HADI (kanan) bersama hos, Azman Mohd Nawi dalam Podcast POV Sinar Islam Plus dibawakan khas oleh MAINS.
USTAZ ABDUL HADI (kanan) bersama hos, Azman Mohd Nawi dalam Podcast POV Sinar Islam Plus dibawakan khas oleh MAINS.
A
A
A

SERINGKALI agihan zakat yang diuruskan pusat zakat dipersoalkan dan sebahagian kecil pula mempertikaikan ketelusan agensi pengurusan zakat ini.

Penolong Pegawai Unit Dakwah, Bahagian Dakwah dan Pemasaran, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Abdul Hadi Abdul Aziz tampil menjelaskan kekeliruan ini dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus yang dibawakan khas MAINS baru-baru ini.

Beliau terlebih dahulu menjelaskan, agihan yang dibuat oleh MAINS dan pusat zakat kendalian Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah berdasarkan ayat ke-60 surah at-Taubah:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan ALLAH, dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari ALLAH.”

Katanya, kakitangan MAINS memahami keadaan orang awam untuk mendapatkan bantuan zakat namun pihaknya perlu melakukan siasatan terlebih dahulu agar memenuhi kriteria yang ditetapkan kepada lapan golongan asnaf tersebut.

“Ada yang mempersoalkan mengapa golongan ibu tunggal, warga emas atau anak yatim tidak berhak mendapatkan zakat.

“Ini kerana mereka perlu diletakkan dalam lapan golongan asnaf terlebih dahulu sama ada fakir, miskin dan lain-lain sebelum layak mendapat bantuan zakat,” hurainya panjang.

Ujarnya, itulah penting kepada masyarakat Islam mengetahui dan memahami ilmu berkaitan zakat agar tidak menimbulkan konflik dan kekeliruan.

Artikel Berkaitan:

“Zakat ini sinonim dengan kita sebenarnya, sama macam ibadah solat dan ia merupakan perintah ALLAH yang wajib untuk dilaksanakan.

KEMPEN Potongan Zakat Bulanan Jom Potong & Menang anjuran MAINS berlangsung sehingga 31 Januari 2025.
KEMPEN Potongan Zakat Bulanan Jom Potong & Menang anjuran MAINS berlangsung sehingga 31 Januari 2025.

“Syarat untuk mengeluarkan zakat diwajibkan kepada semua termasuk anak kecil yang mempunyai harta dan cukup haul (tempoh).

Skim terbaharu untuk sambung belajar

Menjawab persoalan ke mana duit yang dikutip oleh MAINS atau agensi zakat lain, Ustaz Abdul Hadi menjelaskan, dana zakat yang dikutip di Malaysia hari ini hanyalah sekitar RM3 bilion sahaja berbanding kutipan cukai iaitu RM183 bilion.

“Hakikatnya kami di MAINS dan negeri-negeri lain sentiasa proaktif dan kita sentiasa menambah baik skim-skim bantuan yang sedia ada demi maslahat ummah.

“Di MAINS, kita menyediakan 16 skim agihan zakat. Sebagai contoh skim bantuan terbaharu bagi pelajar institut pengajian tinggi, kami membantu anak-anak asnaf melanjutkan pelajaran mereka.

“Ini kerana mengikut statistik yang dikeluarkan, ratusan ribu pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara tidak mahu menyambung pelajaran lagi dan salah satu puncanya adalah masalah kewangan,” ujarnya.

Hurainya lagi, oleh sebab itu MAINS cuba memberi insentif dan semangat kepada mereka yang mahu meneruskan pengajian.

“Di Negeri Sembilan, MAINS menyediakan bantuan one-off berjumlah RM1,800 untuk pelajar sarjana muda manakala RM1,500 untuk diploma.

“Dengan bantuan ini, dapatlah mereka membayar duit pendaftaran, membeli keperluan seperti komputer riba atau digunakan untuk perbelanjaan bagi meringankan beban,” katanya.

USTAZ ABDUL HADI
USTAZ ABDUL HADI

Jelasnya, MAINS menerima hampir 5,000 permohonan setakat ini untuk skim ini dan mungkin ia bertambah lagi pada masa akan datang.

Rawatan perubatan antara skim utama agihan zakat

Ujar Ustaz Abdul Hadi, itu belum dikira bantuan perubatan yang diagihkan MAINS untuk umat Islam yang memerlukan.

“Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mempunyai penyakit buah pinggang dan memerlukan rawatan hemodialisis, dia memerlukan antara RM3,800 hinggga RM4,200 setiap bulan.

“Setiap tahun MAINS memperuntukkan sehingga RM1.2 juta sebulan bagi bantuan rawatan hemodialisis ini dan kira-kira RM20 juta setiap tahun,” ujarnya.

Tambahnya, skim tersebut merupakan antara bantuan utama yang dibuat MAINS dalam mengagihkan dana zakat kepada umat Islam di Negeri Sembilan.

“Selain itu, ada asnaf menerima bantuan bulanan antara RM250 hingga RM800 setiap bulan bergantung kepada had kifayah setiap isi rumah.

“Kita berusaha sedaya upaya membantu golongan yang memerlukan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan asnaf di Negeri Sembilan boleh menyalurkannya kepada kami di MAINS,” jelasnya.

Kempen Jom Berzakat melalui potongan gaji

Sempena hujung tahun ini, MAINS memberi peluang kepada orang ramai membayar zakat melalui Kempen Potongan Zakat Bulanan Jom Potong & Menang yang berlangsung sehingga 31 Januari ini.

KEMPEN Tunai Zakat Harta sempena Bulan Zakat 2024 anjuran MAINS berlangsung sehingga 31 Disember.
KEMPEN Tunai Zakat Harta sempena Bulan Zakat 2024 anjuran MAINS berlangsung sehingga 31 Disember.

“Kini tidak perlu pening kepala, terus buat auto-debit daripada gaji kita setiap bulan.

“Sekiranya orang ramai membayar zakat bermula RM100 atau menambah potongan zakat sehingga mencukupi RM100, maka layak untuk menyertai kempen ini,” katanya.

Tambahnya, pembayar zakat melalui potongan gaji setiap bulan akan berpeluang menerima hadiah daripada MAINS yang bernilai sehingga RM2,000.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen potongan zakat daripada gaji, boleh layari www.mains.gov.my atau pelbagai saluran media sosial MAINS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!