48 jam bersihkan tumpahan 20 tan minyak sawit di Lebuhraya Karak
GOMBAK - Kerja pembersihan membabitkan tumpahan 20 tan minyak kelapa sawit kesan kemalangan lori di Kilometer 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur pada Rabu mengambil hampir 48 jam untuk dilaksanakan.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kemas kini di Facebooknya memaklumkan, kerja pencucian sisa minyak di longkang dan kebuk takungan lebuh raya terlibat berjaya diselesaikan pada malam Khamis.
Menurutnya, tiada gangguan kepada keadaan Sungai Gombak sepanjang kerja-kerja pencucian dijalankan.
"Baki kerja-kerja yang tinggal hari ini adalah pengalihan keluar oleh pihak pemilik kenderaan berkenaan sisa bungkusan minyak yang telah dikumpulkan.
"Keadaan semasa di tapak adalah terkawal dan di dalam pemerhatian rapi LUAS bersama dengan Air Selangor," katanya menerusi kenyataan itu.
Katanya, semakan dan pengesahan lanjut sebarang kesan sisa minyak di lokasi-lokasi terlibat turut diteruskan pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan insiden kemalangan lori membawa muatan minyak kelapa sawit itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 20 tan minyak kelapa sawit tumpah dan telah membeku dengan lapisan tebal di dalam longkang serta sum lebuh raya tersebut.
Setakat jam 11.30 Khamis, 85 peratus kerja pencucian telah diselesaikan.
Sebanyak empat lori tangki IWK digunakan bagi menyedut sisa minyak di kebuk takungan lebuh raya itu.
Air Selangor juga telah menambah bilangan tenaga kerja keseluruhan 50 orang untuk mempercepatkan proses pembersihan.
Sebagai langkah pencegahan, ban telah dibina di kawasan longkang sebelum masuk ke anak Sungai Gombak bagi mengawal air cucian masuk ke sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!