Memang ada pemandu lori pandu laju - JSPT
SEREMBAN - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak menafikan ada segelintir pemandu lori yang memandu laju sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan berkata, pihaknya menerima banyak maklumat daripada orang awam berhubung perkara itu sama ada secara video, bergambar atau melalui panggilan telefon.
"Kita menerima pelbagai maklumat daripada orang awam dan antara aduan diterima ialah pemandu lori ini memandu laju dan tidak mengikut peraturan.
"Segala maklumat itu kita akan jalankan siasatan lanjut dan pada masa sama anggota turut melakukan rondaan menerusi pasukan pemantau di lebuh raya," katanya ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini pada Jumaat.
Menurutnya, berdasarkan peraturan, kenderaan berat termasuk lori perlu dipandu di lorong kiri dan boleh berada di lorong kanan sekiranya mahu memotong.
Jelasnya, peraturan tersebut telah pun dimaklumkan ketika mereka mengambil lesen dan ia juga perlu dipandu dalam kadar kelajuan dibenarkan.
Selain itu katanya, dalam tempoh Januari hingga November lalu, sebanyak 5,747 operasi kenderaan perdagangan dijalankan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan ke atas 235,616 kenderaan perdagangan.
"Dalam pemeriksaan dilakukan, sebanyak 28,298 notis saman bagi kenderaan lori dikeluarkan, 349 bagi kenderaan bermotor dan 16,590 bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) atas nama syarikat.
"Saman paling tertinggi bagi kesalahan lalu lintas ialah tiada lesen kenderaan perkhidmatan awam (10,859), mengguna alat telekomunikasi (9,254), lesen kenderaan motor tamat tempoh (8,380) dan tidak mematuhi lampu isyarat (3,676)," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 380 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan membawa muatan melebihi had ditetapkan.
Tambahnya, dalam tempoh sama juga, sebanyak (154) lori, (106) MPV dan (1) bas diambil tindakan sita di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Seramai 45 pemandu kenderaan perdagangan telah ditahan yang mana 12 daripadanya telah dituduh di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 33 didakwa di bawah undang-undang lain," katanya.
Mohd Yusri turut menasihatkan semua pemilik kenderaan supaya membuat pemeriksaan secara berkala pada kenderaan mereka bagi memastikan ia selamat berada di jalan raya.
Ujarnya, ia bukan semata-mata untuk keselamatan diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.
Beliau sebelum itu menyampaikan sijil penghargaan kepada Kamarul Ekhshan Abdul Ghani, 46, atas tindakan beraninya yang menahan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Ayer Keroh, 5 Oktober lalu selepas mendapati tayar kenderaan itu hampir tercabut.
Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!