Anwar, Thaksin bincang isu kritikal serantau
SHAH ALAM - Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra berjalan lancar pada Khamis seperti yang dijadualkan.
Sebelum ini, Anwar sepatutnya berjumpa dengan Presiden RI Prabowo Subianto pada Isnin lepas di Pulau Langkawi namun dibatalkan kerana difahamkan Prabowo tidak sihat.
Menerusi pertemuan itu, Anwar dan Thaksin membincangkan beberapa isu kritikal serantau.
Kata Anwar, ia merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.
"Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan Thaksin memainkan peranan bagi berdepan cabaran-cabaran dengan penuh yakin serta berkesan.
"Ia juga dapat membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN.
"Saya telah bertemu sahabat baik, Thaksin semalam dan mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN,"ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Beliau memberitahu, kedua-dua pihak juga bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand.
Jelasnya, perkara itu selaras visi dan persefahaman seperti mana yang beliau kongsikan bersama-sama Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra.
"Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
"Insya-ALLAH, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!