Jelajah Sinar Untuk Rakyat: 200 pelajar B40 bakal ikuti program motivasi

Farhaan ketika mengendalikan program motivasi sebelum ini. Gambar kecil: Farhaan
Farhaan ketika mengendalikan program motivasi sebelum ini. Gambar kecil: Farhaan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 200 pelajar B40 berpeluang menyertai program motivasi mengenai kepentingan pendidikan dalam kehidupan sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat, di Dewan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis, 5 Januari depan.

Perunding Motivasi Remaja, Farhaan Rahmat berkata, motivasi bertajuk 'Ilmu, Impian dan Masa Depan' itu akan memberi pendedahan bagaimana pendidikan mampu mengubah nasib dan masa depan seseorang.

Menurutnya, sebagai seorang anak yang juga lahir dalam kalangan B40, beliau sendiri akan berkongsi pengalaman bagi meningkatkan semangat peserta untuk berjaya sekali gus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

"Saya juga berasal dalam kalangan B40, mak saya hanya penjual pisang goreng dan keropok lekor, saya pun pernah rasa keadaan seperti itu, namun akhirnya boleh keluar (daripada kesusahan) sebab ilmu.

"Semangat untuk bawa mereka sambung belajar, tinggi... nak bagi mereka celik akal bahawasanya pendidikan penting untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,"katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Farhaan, pendekatan yang akan digunakan sepanjang motivasi ialah berkonsepkan 'edutainment' iaitu gabungan pendidikan (education) dan hiburan (entertainment).

"Kita ada permainan, latihan dalam kumpulan dan 'role play' supaya mampu menarik minat dan perhatian peserta sepanjang program agar tidak bosan," katanya.

Selain itu, jelasnya, program akan dibahagikan kepada dua slot iaitu Transformasi Diri dan Kemahiran Belajar Efektif.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, seramai 200 pelajar B40 sekitar mukim Beseri dan Chuping akan menghadiri program motivasi berkenaan sebagai acara penutup Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Beseri, Perlis.

Ia dilaksanakan sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sinar Harian dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) sebagai penaja utama yang berlangsung di pekarangan Masjid Jamek Beseri (MJB), Perlis pada 4 dan 5 Januari 2025.

Jelajah di negeri paling utara Semenanjung itu bakal disempurnakan majlis perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Terdahulu pada pagi 4 Januari itu, ahli kariah bersama petugas MJB dan sukarelawan akan menyertai gotong-royong memotong daging seekor lembu dan kira-kira 100 ekor ayam bagi memasak juadah untuk Kenduri Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!