Saring awal, cegah awal: Anda penentu kesihatan sendiri

No Image Caption
A
A
A

Rata-rata, kita hanya akan mula memikirkan kesihatan bila sudah sakit. Betul tak? Sebenarnya, masa terbaik untuk kita melakukan saringan kesihatan adalah ketika diri masih nampak sihat dan bertenaga, bukan bila dah terlentang di katil hospital.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan bahawa 2 daripada 5 orang dewasa di Malaysia tidak melakukan saringan kesihatan. Dalam bahasa mudahnya, ramai yang ambil mudah soal kesihatan. Bukankah lebih baik kita tahu status kesihatan sebelum terlambat?

Kenapa perlu saring awal?

Saringan kesihatan berfungsi macam alarm amaran. Dengan menjalani ujian berkala, kita dapat mengetahui jika ada masalah kesihatan yang berpotensi, walaupun kita rasa sihat dan tidak ada simptom.

Contohnya, penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi sering tidak menunjukkan sebarang tanda pada peringkat awal. Tapi bila kita tahu lebih awal, kita boleh ambil langkah pencegahan atau rawatan yang lebih berkesan.

Kalau kita boleh kesan masalah kesihatan lebih awal, peluang untuk kita cegah penyakit daripada jadi lebih serius adalah lebih tinggi. Misalnya, jika saringan mendapati paras gula dalam darah tinggi, kita boleh mulakan diet yang sihat, bersenam dan mungkin mengelakkan komplikasi seperti kerosakan buah pinggang atau masalah jantung.

No Image Caption

Begitu juga dengan kanser. Pengesanan awal kanser boleh membawa kepada rawatan yang lebih mudah dan efektif, sekaligus meningkatkan kadar kelangsungan hidup. Jadi, jangan tunggu sampai keadaan menjadi parah baru nak ambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

Ramai masih lalai

Walaupun maklumat tentang pentingnya saringan kesihatan semakin meluas, masih ada ramai yang malas atau takut untuk menjalani ujian. Tinjauan NHMS 2023 jelas menunjukkan 2 daripada 5 orang dewasa di Malaysia tidak membuat sebarang saringan kesihatan. Ini menunjukkan masih ramai yang mengambil pendekatan ‘kalau tak tahu, tak risau’.

Bagi lebih memahami mengenai kepentingan melakukan saringan awal kesihatan ini, Sinar Harian mengajukan soalan kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Khairul Hafidz Alkhair bin Khairul Amin.

SH: Mengapa saringan awal kesihatan penting, terutamanya untuk individu yang kelihatan sihat?

Dr Khairul: Untuk mengesan penyakit pada peringkat awal sebelum gejala muncul, meningkatkan peluang rawatan yang berkesan dan mencegah daripada komplikasi yang lebih serius.

SH: Apakah jenis penyakit yang biasanya dapat dikesan lebih awal melalui saringan?

Dr Khairul: Penyakit seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi, kanser, dan penyakit jantung.

No Image Caption

SH: Seberapa kerap saya perlu menjalani saringan kesihatan berdasarkan usia dan gaya hidup saya?

Dr Khairul: Sekurang-kurangnya sekali setahun, atau lebih kerap jika anda berisiko tinggi.

SH: Apakah ujian-ujian utama yang disyorkan untuk memastikan keadaan kesihatan keseluruhan seseorang?

Dr Khairul: Ujian darah, tekanan darah, kolesterol, gula dalam darah, dan pemeriksaan fizikal.

SH: Bagaimana saringan awal dapat membantu mengelakkan rawatan yang lebih mahal atau komplikasi di masa hadapan?

Dr Khairul: Dengan mengesan penyakit awal, rawatan dapat dimulakan segera, mengelakkan komplikasi serius yang memerlukan kos tinggi.

SH: Apakah langkah seterusnya jika keputusan saringan menunjukkan risiko tinggi terhadap penyakit tertentu?

Dr Khairul: Berunding dengan doktor untuk perancangan rawatan atau langkah pencegahan lanjut. Boleh berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan terdekat ataupun doktor di klinik dan hospital swasta jika berkemampuan.

SH: Bagaimana rakyat Malaysia boleh mengatasi stigma atau rasa takut untuk menjalani saringan awal kesihatan?

Dr Khairul: Tingkatkan kesedaran bahawa saringan awal adalah langkah penjagaan diri, bukan tanda kelemahan. Galakkan sokongan dari keluarga dan rakan.

Kunci untuk hidup sihat bukan terletak pada rawatan selepas sakit, tetapi pada pencegahan. Jadi, jangan tunggu simptom muncul baru nak bertindak.

Jalani saringan kesihatan secara berkala dan ketahui status kesihatan anda. Saring awal, cegah awal. Kesihatan anda adalah tanggungjawab anda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!