Tiada kenaikan tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik - TNB

Nazmi ditemui selepas Taklimat Media mengenai Tempoh Kawal Selia 4 (Regulatory Period 4) di Pusat Konvensyen TNB Platinum, pada Jumaat. Foto Bernama
Nazmi ditemui selepas Taklimat Media mengenai Tempoh Kawal Selia 4 (Regulatory Period 4) di Pusat Konvensyen TNB Platinum, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada sebarang kenaikan tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik sehingga 30 Jun tahun hadapan, kata Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Nazmi Othman.

Beliau berkata, keputusan ini sejajar dengan apa yang telah diputuskan kerajaan pada 20 Disember lepas, untuk mengekalkan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

"Dalam tempoh itu, pengguna domestik tidak akan terjejas kerana sebarang kenaikan harga atau impak akan ditampung kerajaan menerusi kaedah yang akan ditentukan antaranya termasuklah melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai pelaksanaan Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood.

Nazmi menjelaskan sebelum tempoh itu berakhir, kerajaan akan melakukan penilaian dan kajian semula struktur tarif elektrik, dengan mengambil kira harga arang batu, gas dan bahan api semasa sebelum sebarang keputusan lanjut diumumkan.

"Keputusan seterusnya dijangka diumum sebelum Julai, kerana kerajaan akan memantau situasi termasuk harga pasaran semasa arang batu, gas dan bahan api pada tarikh paling hampir dengan berakhirnya jadual tarif elektrik semasa iaitu 30 Jun 2025," katanya.

Pada 20 Disember lepas, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataannya memaklumkan kerajaan pada 13 Disember memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik selaras dengan komitmen untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi menerusi pelaksanaan subsidi secara bersasar.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh membebankan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan kadar tarif elektrik tidak seharusnya diletakkan kepada rakyat terbanyak, sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.

Perdana Menteri yang berada di Langkawi memberitahu media, beliau telah menghubungi Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air supaya meminta TNB memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Nazmi yakin sebarang keputusan yang diumumkan kerajaan kelak akan mengutamakan dan menjamin kesejahteraan rakyat terutamanya melindungi pengguna domestik.

Beliau berkata, setakat ini TNB merekodkan sejumlah sembilan juta pemilik akaun pengguna domestik, dan sejuta pengguna sektor komersial. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!