Usah politikkan pelaksanaan hukuman sebat di Terengganu - PPMM
KUALA TERENGGANU - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta semua pihak supaya tidak mengelirukan masyarakat atau mempolitikkan pelaksanaan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai yang dijalankan di Terengganu pada Jumaat.
Timbalan Presidennya, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, orang ramai perlu memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman tersebut serta tidak melihat melalui perspektif sempit atau prejudis.
Menurutnya, negeri lain juga wajar mencontohi pelaksanaan hukuman tersebut kerana mengambil kira segenap aspek berdasarkan sistem perundangan syariah yang sah di sisi undang-undang negara.
"PPMM menyeru agar Mahkamah Syariah di negeri-negeri lain turut menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan di Terengganu.
"Ia agar dapat membuka mata masyarakat untuk memperkasakan syariah dan menjunjung hukum syarak," katanya kepada pemberita selepas hukuman sebatan tersebut selesai dijalankan di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau menolak tohmahan dan persepsi buruk menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di negeri itu melanggar prinsip kemanusiaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pelaksanaan hukuman sebatan syariah hari ini dilaksanakan dengan lancar walaupun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu.
Beliau memberitahu, hukuman itu sah mengikut peruntukan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, khususnya Seksyen 125 yang menetapkan kaedah pelaksanaan sebatan yang berperikemanusiaan.
"Dakwaan bahawa ia tersebut adalah tidak berasas dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada serta fakta pelaksanaan hukuman tersebut.
"Ia kerana kawasan yang dibenarkan untuk disebat adalah terhad dan tidak melibatkan bahagian sensitif seperti muka, kepala, perut dan dada
"Pelaksanaan sebatan dilakukan oleh individu terlatih, menggunakan alat yang memenuhi piawaian ditetapkan, dengan kaedah sebatan yang sederhana tanpa mencederakan kulit atau bahagian badan pesalah," jelas beliau.
Selain itu, katanya, pemeriksaan kesihatan pesalah juga dilakukan terdahulu oleh Pegawai Perubatan bagi memastikan pesalah berada dalam keadaan sihat sebelum hukuman dijalankan.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai lokasi pelaksanaan sebatan itu, katanya, ia boleh dilakukan di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
"Selagi mematuhi syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran. Dalam kes ini, pemilihan lokasi oleh mahkamah adalah mengikut kuasa yang diperuntukkan di dalam prosedur operasi standard (SOP).
Pada 20 November lalu, Sinar Harian melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!