MAINPP lulus dana RM3.19 juta bantuan pakaian, peralatan sekolah
GEORGE TOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah meluluskan dana sebanyak RM3.19 juta untuk Skim Agihan Pakaian dan Peralatan Persekolahan Sesi 2025.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pemberian itu melibatkan kira-kira 21,000 pelajar di seluruh negeri ini.
Menurutnya, bantuan itu akan diagihkan kepada pelajar melalui kaedah pembayaran tanpa tunai dengan setiap pelajar akan menerima sebanyak RM150.
"Setiap tahun, ZPP akan mengagihkan dana zakat kepada pelajar melalui Skim Agihan Pakaian dan Peralatan
Persekolahan bagi meringankan beban ibubapa dari golongan yang kurang berkemampuan membeli pakaian dan peralatan persekolahan.
"Selain itu, kita juga melaksanakan Skim Agihan Nur Ramadan yang akan diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin dengan matlamat untuk meringankan beban golongan ini sekali gus memberikan kegembiraan sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Aidilfitri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi ZPP berkata, sebanyak RM10.15 juta telah diagihkan kepada 23,528 penerima bagi Skim Agihan Nur Ramadan pada 2024.
"Bermula tahun 2025, MAINPP melalui ZPP akan melakukan penambahbaikan di dalam proses pengagihan Skim Agihan Pakaian dan Peralatan Persekolahan dan Skim Agihan Nur Ramadan.
"Bagi penambahbaikan proses pengagihan Skim Agihan Pakaian dan Peralatan Persekolahan, ia hanya akan melibatkan pencalonan penerima daripada pihak sekolah dan ZPP sahaja.
"Manakala untuk proses pengagihan Skim Agihan Nur Ramadan hanya akan melibatkan tiga pihak iaitu ZPP sebagai penyedia data asnaf kepada masjid kariah dan seterusnya data berkenaan akan disahkan oleh masjid daerah," jelasnya.
Menurutnya, untuk kali ini, proses pencalonan skim itu tidak akan melibatkan pihak lain seperti kebiasaan tahun sebelumnya seperti penglibatan Ahli MAINPP, Ahli Lembaga Pengarah ZPP, pejabat KADUN dan badan bukan kerajaan di Pulau Pinang.
"Keputusan ini dibuat bagi memastikan pengagihan Skim Agihan Pakaian dan Peralatan Persekolahan serta Skim Agihan Nur Ramadan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan telus
"MAINPP sentiasa mengambil berat dalam memastikan kelestarian asnaf di Pulau Pinang sentiasa terpelihara agar dana zakat dapat diagihkan dengan lebih baik dan bersistematik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!