Parlimen Korea Selatan undi dakwa Pemangku Presiden Han
SEOUL - Dewan Parlimen Korea Selatan mengundi pada Jumaat untuk melakukan pendakwaan terhadap Pemangku Presiden Han Duck-soo, kurang dua minggu selepas beliau mengambil alih tugas daripada Presiden Yoon Suk Yeol yang turut didakwa kerana melaksanakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.
Usul pendakwaan terhadap Han diluluskan secara sebulat suara dengan 192 undian, menjadikan beliau pemangku presiden pertama yang didakwa oleh parlimen.
Han akan digantung tugas sebaik sahaja resolusi pendakwaan diserahkan kepadanya dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Choi Sang-mok, akan mengambil alih peranan sebagai Pemangku Presiden serta Pemangku Perdana Menteri.
"Saya menghormati keputusan Parlimen dan bagi mengelakkan kekeliruan serta ketidakpastian yang lebih besar, saya akan menggantung tugas saya mengikut undang-undang yang berkaitan dan menunggu keputusan bijak serta pantas daripada Mahkamah Perlembagaan," kata Han dalam satu kenyataan.
Parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP) membantah keputusan itu, dengan menyatakan undian tersebut tidak sah kerana kuorum pemecatan hanya memerlukan majoriti mudah sebanyak 151 undian, yang terpakai untuk menteri Kabinet dan bukannya majoriti dua pertiga (200 undian) yang sepatutnya terpakai untuk presiden.
Kuorum itu diumumkan oleh Speaker Dewan Woo Won-shik, sejurus sebelum undian, menyebabkan ahli parlimen PPP tergesa-gesa mengelilingi kerusi speaker sambil menjerit "tidak sah" dan meluahkan bantahan mereka.
Usul pendakwaan Han dicadangkan oleh parti pembangkang utama, Parti Demokratik (DP), sehari sebelumnya selepas beliau enggan melantik hakim tambahan ke Mahkamah Perlembagaan yang akan mengadili perbicaraan pendakwaan Yoon.
DP menyenaraikan lima sebab bagi pendakwaan terhadap Han, termasuk keengganannya melantik hakim, penglibatannya dalam pelaksanaan undang-undang darurat oleh Yoon serta keengganannya menguatkuasakan dua rang undang-undang khas yang menyasarkan Yoon dan isteri beliau, Kim Keon Hee.
PPP dijangka mengambil langkah perundangan, termasuk memohon injunksi, untuk membatalkan keputusan pendakwaaan terhadap Han. - Bernama/Yonhap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!