Mayat misteri ditemui pada roda pesawat
HONOLULU - Mayat tidak dikenali ditemui pada ruang roda pesawat milik United Airlines sejurus ia mendarat di Pulau Hawaii, Amerika Syarikat (AS) pada awal minggu lalu.
Penemuan mayat tersebut dibuat pada salah satu bahagian yang menempatkan gear pendaratan penerbangan 202 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O'Hare ke Lapangan Kahului.
“Bahagian tersebut hanya boleh diakses dari luar pesawat. Tidak diketahui bagaimana individu tersebut boleh masuk ke ruang tersebut,” ujar syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Menurut United, mereka kini sedang bekerjasama dengan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk melancarkan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu.
Penumpang tak diundang di bahagian roda dan ruang kargo berisiko mengancam nyawa mereka kerana terpaksa menghadapi suhu antara -50 dan -60 darjah Celsius selain kekurangan bekalan oksigen.
Hanya segelintir yang bernasib baik untuk tiba di destinasi.
Pada tahun lalu, seorang individu yang ‘menumpang’ pesawat pengangkut Algeria ditemui masih hidup sejurus ia mendarat di Paris. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!