Shell tutup unit pemprosesan minyak di Pulau Bukom, Singapura siasat kebocoran

Shell menutup satu daripada unit pemprosesan minyak di Shell Energy and Chemicals Park di Pulau Bukom, Singapura, bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kebocoran yang disyaki dalam sistem itu.
Shell menutup satu daripada unit pemprosesan minyak di Shell Energy and Chemicals Park di Pulau Bukom, Singapura, bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kebocoran yang disyaki dalam sistem itu.
A
A
A

SINGAPURA - Shell menutup satu daripada unit pemprosesan minyak di Shell Energy and Chemicals Park di Pulau Bukom, Singapura, bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kebocoran yang disyaki dalam sistem itu.

"Shell menganggarkan beberapa tan produk minyak yang telah diproses bocor, bersama-sama dengan pelepasan air penyejuk,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC).

Unit pemprosesan minyak itu digunakan untuk menghasilkan produk minyak yang telah diproses seperti diesel. Air yang diambil dari laut digunakan sebagai sebahagian daripada proses untuk menyejukkan produk minyak itu di unit berkenaan.

Susulan kejadian itu, Shell mengerahkan pelampung penahan dan bahan penyerap serta menyembur bahan pengurai di saluran tempat air penyejuk dibuang.

Sistem pengasing minyak yang terpasang di saluran itu turut diaktifkan. Pelampung penahan dan penyerapan telah dipasang di mulut saluran untuk menghalang minyak yang masih ada daripada merebak ke laut.

"Tiada tompok minyak dikesan di sekitar Pulau Bukom,” menurut kenyataan itu.

MPA dan Shell turut mengerahkan bot untuk membersihkan lapisan minyak ringan yang dikesan di luar Pulau Bukom.

Agensi-agensi berkaitan memantau situasi itu dengan teliti dan telah menggunakan satelit serta dron untuk pemantauan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah berjaga-jaga, pelampung penyerapan minyak akan dipasang di Taman Laut Pulau Sisters dan di pantai di Sentosa.

Kejadian ini tidak menjejaskan lalu lintas pelayaran di kawasan itu atau operasi pengisian minyak di Pelabuhan Singapura.

"NEA sedang menyiasat kejadian ini bersama MPA dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya sebarang kesalahan atau kelemahan ditemukan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!