Punca awal nahas pesawat 'gangguan luaran fizikal dan teknikal' - Azerbaijan Airlines

Azerbaijan Airlines pada Jumaat mengumumkan bahawa keputusan awal siasatan menunjukkan "gangguan luaran fizikal dan teknikal" menjadi punca nahas pesawat Embraer 190 miliknya di Kazakhstan pada Rabu lepas.
Azerbaijan Airlines pada Jumaat mengumumkan bahawa keputusan awal siasatan menunjukkan "gangguan luaran fizikal dan teknikal" menjadi punca nahas pesawat Embraer 190 miliknya di Kazakhstan pada Rabu lepas.
A
A
A

MOSCOW - Azerbaijan Airlines pada Jumaat mengumumkan bahawa keputusan awal siasatan menunjukkan "gangguan luaran fizikal dan teknikal" menjadi punca nahas pesawat Embraer 190 miliknya di Kazakhstan pada Rabu lepas, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan di Telegram, syarikat itu menyatakan atas sebab itu mulai Sabtu, ia telah menggantung penerbangan ke beberapa bandar di Rusia, termasuk Mineralnye Vody, Sochi, Volgograd, Ufa, Samara, Saratov, Nizhny Novgorod dan Vladikavkaz.

"Keputusan ini, yang dibuat selaras dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Negara Azerbaijan, adalah berdasarkan hasil awal siasatan terhadap nahas pesawat Embraer 190 yang mengendalikan penerbangan Baku-Grozny J2-8243 Azerbaijan Airlines disebabkan gangguan luaran fizikal dan teknikal, serta mengambil kira potensi risiko kepada keselamatan penerbangan. Penggantungan ini akan kekal sehingga siasatan akhir diselesaikan," menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa penggantungan penerbangan ke bandar Grozny dan Makhachkala, yang berkuat kuasa sejak Rabu, masih diteruskan.

"Demi keselamatan, keputusan telah dibuat untuk menggantung penerbangan syarikat penerbangan lain ke destinasi yang disebutkan termasuk Grozny dan Makhachkala," katanya.

Azerbaijan Airlines juga mengumumkan bahawa penumpang ke dan dari bandar yang terlibat di Rusia, yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan syarikat itu disebabkan situasi semasa, layak mendapatkan bayaran balik penuh tanpa penalti atau menukar tarikh tiket mereka.

Pesawat Azerbaijan Airlines pada Rabu yang dalam perjalanan dari Baku ke bandar Grozny di Republik Chechen, Rusia, terhempas berhampiran Aktau, yang terletak di pantai Laut Caspian, dengan membawa 67 orang penumpang.

Pegawai Kazakhstan melaporkan bahawa 38 orang terkorban dalam nahas itu manakala 29 terselamat. - Bernama/AA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!