Kekalahan terhadap Musa Hassan cacatkan kredibiliti Hannah Yeoh

Laporan Sinar Harian mengenai keputusan mahkamah menolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan.
Laporan Sinar Harian mengenai keputusan mahkamah menolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kekalahan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung ucapan beliau dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) empat tahun lalu telah mencacatkan kredibiliti dan integritinya.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, perkara yang berlaku itu adalah wajar sekiranya Hannah melepaskan jawatan sebagai menteri atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menggugurkan beliau.

“Kuasa melantik dan menggugurkan itu adalah hak mutlak seorang Perdana Menteri.

“Mengikut maklumat, Hannah ialah seorang mubaligh Kristian yang terlatih dan dia menggelarkan dirinya sebagai ‘duta Tuhan’.

“Walaupun Perlembagaan Malaysia memperuntukkan hak kebebasan beragama untuk rakyatnya di samping Islam sebagai agama rasmi, tetapi Hannah telah gagal mematuhi sumpah ikrar semasa dilantik sebagai menteri dalam pertahankan Perlembagaan Malaysia yang antaranya agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 30 Januari 2020, Hannah dilaporkan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan dibuat semasa ucapannya dalam satu forum UiTM.

Beliau mendakwa Musa antara lain menuduhnya menulis buku ‘Becoming Hannah’, menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis atau Yahudi untuk merosakkan Islam dan Malaysia serta mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara.

Susulan kes itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 menolak saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Segambut itu.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan berkenaan selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, kekalahan Hannah untuk kes saman fitnah itu sama dengan kes saman yang melibatkan bekas Menteri Kesihatan, Abdul Rahman Talib dalam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 terhadap seorang Ahli Parlimen pembangkang, Darma Raja Seenivasagam.

“Abdul Rahman ketika itu kalah saman fitnah terhadap Seenivasagam dan akhirnya beliau meletak jawatan sebagai menteri demi menjaga integriti seorang penjawat awam.

“Keadaannya sama dengan Hannah yang sekarang memegang jawatan seorang menteri kabinet dalam Kerajaan Madani pimpinan PMX,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!