Pengurusan efisien, LZS terus relevan

No Image Caption
A
A
A
Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Zakat Selangor (PZS) telah mencapai pelbagai kejayaan penting sepanjang tiga dekad penubuhannya.

Menerusi misi memberi perkhidmatan kepada umat Islam penuh integriti, profesionalisme dalam urusan kutipan dan agihan zakat, LZS terus berkembang sebagai institusi zakat yang menerajui perubahan di negara ini.

Dalam usahanya memperkukuhkan kepercayaan komuniti, LZS komited meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan terutamanya golongan asnaf fakir dan miskin di Selangor.

1994 hingga 2000: Permulaan operasi

Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memulakan operasi pertamanya pada Februari 1994 untuk mengutip zakat di Selangor dan kemudian nama entiti ini ditukar kepada Pusat Zakat Selangor (MAIS) atau PZS pada tahun 1996.

Tahun berikutnya, PZS diberi tanggungjawab baharu mengurus kutipan zakat fi trah di negeri Selangor. Momentum ini terus diperkukuhkan apabila pada tahun 1998, PZS diberi mandat penuh untuk menguruskan pengagihan zakat, mengambil alih peranan Baitulmal MAIS.

Pada tahun 2000, PZS berpindah ke Kompleks MAIS, Klang dan telah membuka era baharu pengurusan zakat dengan kemudahan lebih baik untuk melancarkan operasi dan memudahkan perkhidmatan kepada masyarakat.

2004 hingga 2006: Catat sejarah kutip RM100 juta

Hampir sedekad selepas penubuhannya, PZS mencatat kutipan zakat RM100 juta. Pada 2006, PZS melaksanakan transformasi menjadi entiti korporat di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 di bawah nama Lembaga Zakat Selangor.
Artikel Berkaitan:


2007 hingga 2010: Inovasi dalam perkhidmatan zakat

Dengan imej baharu yang mencerminkan komitmen tinggi dalam kutipan dan agihan, LZS terus melaksanakan inovasi dalam perkhidmatan. Pada 2007, pusat dialisis pertama dibuka di Wisma MAIS, Shah Alam, diikuti cawangan di Klang setahun kemudian.

Selain itu, LZS turut menubuhkan asrama pelajar asnaf dikenali sebagai Bait Al-Hasanah di Hulu Selangor dan Kuala Selangor sebagai sokongan kepada golongan fakir dan miskin.

Kemudahan pembayaran zakat dipertingkatkan dengan kaedah sistem pesanan ringkas (SMS) untuk zakat fi trah dan saluran baharu Zakat@One Pay melalui mesin ATM.

Pada 2009, LZS memperkenalkan pula Kaunter Ekspres Agihan Zakat untuk mempermudahkan dan mempercepatkan bantuan segera kepada asnaf yang memerlukan.

2011 hingga 2015: Memperluaskan perkhidmatan zakat

No Image Caption



Kaunter Bergerak LZS dilancarkan pada 2011 merupakan inisiatif LZS dalam memberikan perkhidmatan pembayaran dan permohonan bantuan zakat yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Pada tahun sama, LZS secara agresif melaksanakan program turun padang melalui Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) untuk mengenal pasti golongan yang belum berdaftar dengan LZS, namun layak menerima bantuan zakat. Program ini bertujuan untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, sekali gus mengatasi isu keciciran asnaf dengan lebih efektif.

Seterusnya pada 2013, LZS mencatatkan pencapaian kutipan dan agihan zakat melebihi RM500 juta, membuktikan kepercayaan komuniti terhadap institusi ini dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

Bagi memperluaskan perkhidmatan sedia ada, LZS turut memperkenalkan panduan zakat saham dan pelaburan yang pertama di Malaysia dan pada 2015 memperkenalkan portal e-majikan kepada mana-mana syarikat yang menyertai skim potongan gaji.

Institusi zakat ini juga telah menyalurkan sumbangan kepada projek penempatan mangsa banjir di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong, Kuala Krai bagi meringankan beban mereka.

2016 hingga 2021: Terus menyalurkan manfaat agihan

Pada tahun 2016, Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah di Seksyen 30, Shah Alam telah dirasmikan.

Pada tahun 2017, fungsi pengurusan mualaf di Negeri Selangor diserap daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ke LZS.

Penyerapan itu bertujuan untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan sokongan zakat bagi kesejahteraan hidup golongan mualaf di Selangor.

Tahun 2020 menyaksikan cabaran besar bagi LZS dengan dua ujian utama, iaitu pandemik Covid-19 dan banjir besar di Selangor.

LZS menyalurkan Inisiatif Bantuan Zakat Selangor Peduli yang melibatkan agihan sebanyak RM69.3 juta bagi membantu mereka yang terjejas.

Bantuan Khas Banjir berjumlah RM42.2 juta disalurkan kepada golongan yang terkesan oleh banjir besar yang melanda.

2022 hingga 2024: Menyalurkan manfaat, meningkatkan kepercayaan

Tahun 2022, buat pertama kalinya LZS memecahkan rekod keseluruhan kutipan dan agihan zakat melepasi paras RM1 bilion.

Prestasi ini diteruskan pada tahun 2023 dengan mengekalkan kutipan melebihi RM1 bilion dan mengagihkan RM1.15 bilion agihan zakat kepada lebih 350,000 penerima di seluruh Selangor.

Tahun 2024, LZS menerbitkan laporan kelestarian pertama yang memaparkan bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Berikutan itu, LZS telah memenangi Anugerah Sustainability & CSR Malaysia Awards 2024 bagi kategori Organization of the Year (Zakat Management) Public Well-Being Leadership Award.

Selama tiga dekad, LZS konsisten memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti dan berusaha memperkukuh kepercayaan masyarakat melalui pengurusan zakat yang amanah serta telus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!