Polis rampas arak, rokok RM3.48 juta
KUALA LUMPUR - Polis merampas arak dan rokok seludup bernilai RM3.48 juta dalam serbuan di Klang dan Shah Alam, Selangor kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejayaan itu hasil Op Asap dan Op Methanol yang dilakukan oleh anggota dan pegawai Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA Bukit Aman hasil maklumat dan risikan.
"Operasi terbabit turut menahan lapan lelaki termasuk empat warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 19 hingga 65 tahun.
"Sebanyak 18,800 karton rokok seludup pelbagai jenama serta 3,108 botol arak seludup dianggar bernilai RM3.48 juta dirampas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita enam kenderaan iaitu lima lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Katanya, kesemua suspek kini direman selama 12 hari sehingga 27 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!