Kutipan dan agihan zakat bangunkan sosial, ekonomi Selangor

No Image Caption
A
A
A
Peningkatan jumlah kutipan dan agihan zakat yang konsisten menunjukkan masyarakat mula sedar akan tanggungjawab terhadap kewajipan rukun Islam ketiga itu.

Peningkatan kutipan zakat pada 1995 sebanyak RM15.9 juta terus menunjukkan peningkatan RM1.1 bilion pada 2023. Dalam pada itu, agihan zakat turut menunjukkan trend yang sama daripada RM16.3 juta pada kepada RM1.15 bilion bagi tempoh tersebut.

Tempoh 10 tahun pertama dari 1995 hingga 2004 masing-masing mencatatkan jumlah kutipan zakat berjumlah RM15.9 juta dan RM107.8 juta.

Menerusi kutipan zakat yang dibuat dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM91.9 juta hingga 2004.

Bagi agihan zakat pada 1995 hingga 2004 masingmasing merekodkan RM16.3 juta dan RM100.8 juta.

Peningkatan sebanyak RM84.5 juta sekali gus menunjukkan agihan zakat dilakukan secara sistematik dalam tempoh sedekad penubuhannya.

Bagi tempoh 2005 hingga 2014 kutipan zakat turut menunjukkan peningkatan lebih baik apabila masing-masing mencatatkan jumlah sebanyak RM133.2 juta dan RM582.3 juta.

Dalam tempoh yang sama agihan zakat dari tahun 2005 berjumlah RM114.2 juta manakala pada 2014 pula RM595.7 juta dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM481.5 juta.

Selepas hampir dua dekad Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni golongan asnaf, pada 2015 jumlah kutipan zakat terus meningkat sebanyak RM627 juta, manakala 2023 jumlah itu bertambah kepada RM1.1 bilion.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu agihan zakat juga turut menunjukkan trend peningkatan iaitu sebanyak RM676 juta pada 2015 kepada RM1.15 bilion pada 2023.

5 program pembangunan utama zakat bantu asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan

Hasil agihan zakat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tiga dekad penubuhannya telah disalurkan menerusi lima program pembangunan asnaf yang merangkumi ekonomi, sosial, pendidikan, insan dan agama.

No Image Caption



Misi membantu asnaf di Selangor dizahirkan melalui lima program utama iaitu Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Insan, Program Institusi Agama, Program Pembangunan Sosial dan Program Pembangunan Pendidikan.

Menerusi program Pembangunan Sosial, LZS telah mengagihkan sebanyak RM5.9 bilion bagi menjamin kehidupan berkualiti asnaf terutama daripada aspek perlindungan atau perumahan, keperluan hidup dan kebajikan sepanjang 30 tahun penubuhannya.

Dalam pada itu, sebanyak RM199.7 juta telah diagihkan melalui Program Pembangunan Ekonomi untuk menyediakan modal dan peralatan kepada golongan asnaf, fakir, miskin dan mualaf yang berpotensi menjadi usahawan.

Inisiatif ini menjadi pemangkin serta batu loncatan membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Selain itu, Program Pembangunan Pendidikan juga membentuk anak-anak asnaf sebagai generasi kedua yang mampu membawa keluar keluarga daripada kemiskinan.

Agihan sebanyak RM2.4 bilion menunjukkan betapa LZS menekankan aspek pendidikan dalam kalangan anakanak asnaf sejak awal penubuhannya lagi, dengan membantu pembiayaan pendidikan dari peringkat pra persekolahan sehingga ke institusi pengajian tinggi terpilih.

LZS menunjukkan komitmen teguh dalam memperkasa pembangunan insan golongan asnaf di Selangor melalui pelaksanaan Program Pembangunan Insan dengan menyalurkan sebanyak RM420.2 juta.

Program ini dirangka dengan tujuan untuk memajukan aspek kerohanian golongan asnaf, merangkumi pengukuhan spiritual, motivasi diri, sikap positif dan nilai kekeluargaan.

Beberapa inisiatif penting dalam program ini termasuk kursus kerohanian, tahsinul ibadah, tahsinul qiraat, serta kursus keibubapaan yang bertujuan memperkayakan pengetahuan dan memperbaiki kualiti hidup mereka secara holistik.

Dari aspek Program Pembangunan Institusi Agama, sebanyak RM464.6 juta telah disalurkan bertujuan untuk memenuhi keperluan ummah di Selangor.

LZS fokus kepada pembinaan dan penyelenggaraan masjid, surau serta pusat pengajian agama demi memastikan kemudahan tempat ibadah dan berkualiti dapat dinikmati oleh komuniti secara keseluruhan.

LZS pacu ekonomi keluarga asnaf

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi pelbagai program latihan terus memacu keluarga asnaf untuk meningkatkan taraf ekonomi selain memperbaiki kedudukan kewangan mereka.

Bilangan keluarga asnaf fakir pada 1995 ialah 1,467 keluarga namun jumlah tersebut mula menunjukkan penurunan pada 2005 iaitu 529 keluarga.

Walau bagaimanapun, jumlah keluarga asnaf miskin pula menunjukkan trend berbeza apabila mengalami pertambahan dari 8,774 keluarga pada 1995 kepada 9,909 keluarga pada 2005.

Pada tahun 2006 hingga 2015 terdapat trend peningkatan keluarga fakir dengan masing-masing mencatatkan seramai 294 keluarga dan 13,138 keluarga.

Bagi tahun 2016 hingga 2023 menunjukkan peningkatan dengan masing-masing merekodkan seramai 13,522 keluarga dan 24,345 keluarga. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10,823 keluarga dalam tempoh tersebut.

Menerusi rekod yang dikeluarkan oleh LZS, jumlah keluarga fakir turut meningkat dalam tempoh tersebut.

Pada tahun 2016 seramai 32,978 keluarga fakir dicatatkan manakala 2023 merekodkan 41,359 keluarga fakir sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 8,381 keluarga miskin dalam tempoh tersebut.

Berdasarkan jumlah tersebut, ini membuktikan LZS terus berusaha membantu umat Islam bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial bagi membasmi kemiskinan di Selangor.

Bilangan pengeluar zakat harta meningkat setiap tahun

Bilangan pengeluar zakat harta yang meningkat setiap tahun bermula dari tahun 2000 hingga 2023 membuktikan bahawa usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memperkasa institusi zakat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam.

Pada 2000 hingga 2010 jumlah pengeluar zakat harta meningkat daripada 23,295 orang kepada 168,002 orang dalam tempoh 10 tahun pertama.

Tempoh 10 tahun pertama pengeluaran zakat harta terus menunjukkan trend positif dan stabil bermula pada 2001 iaitu 14,378 orang bersamaan 61 peratus lebih ramai membayar zakat berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu didorong oleh keberkesanan dakwah dan program pendidikan zakat yang dilaksanakan selain faktor pertumbuhan ekonomi dan penambahbaikan sistem pengurusan zakat lebih efisien serta kepercayaan komuniti terhadap institusi ini.

Usaha LZS memartabatkan zakat diteruskan dalam tempoh 10 tahun kedua bermula 2011 hingga 2020 apabila terdapat lonjakan yang pesat dari 180,617 orang kepada 346,415 orang.

Peningkatan itu berlaku secara signifikan pada 2012 hingga 2014 apabila berlaku bertambahan seramai 30,000 orang dalam tempoh dua tahun sahaja.

Bagi tahun 2021 hingga 2023 trend tersebut mula stabil dan mencatatkan peningkatan yang lebih kecil dengan masing-masing mencatatkan seramai 364,778 orang dan 398,184 orang.

Walau bagaimanapun, pada 2023 terdapat penurunan seramai 2,396 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu 400,580 orang.

Namun, jumlah pengeluar zakat dalam tempoh berkenaan masih kekal tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun begitu, jumlah pengeluar zakat yang melebihi 390,000 orang pada tahun 2023 membuktikan peningkatan kesedaran yang baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!