Wanita rugi lebih RM700,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM751,070 gara-gara terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud. Gambar hiasan
Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM751,070 gara-gara terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM751,070 gara-gara terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 55 tahun pada Jumaat.

"Dalam laporannya, mangsa mengakui tertarik dengan pelaburan saham yang diperkenalkan oleh seorang kenalan yang dikenalinya di laman sosial Instagram pada18 September lalu.

"Mereka kemudiannya berhubung melalui aplikasi WhatsApp yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pelaburan.

"Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah memuat turun satu aplikasi di play store dan melakukan sebanyak 22 transaksi ke empat akaun berbeza mulai 7 November hingga 13 Disember 2024 dengan modal keseluruhannya berjumlah RM751,070," katanya.

Ujar beliau, mangsa kemudiannya menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan pulangan keuntungan pelaburan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. Jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

"Siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun dan jika ada tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!