Tragedi J2-8243: Kemalangan yang sengaja dirancang?
TERHEMPASNYA pesawat Azerbaijan Airlines (Azal), J2-8243 pada Rabu lalu kini menimbulkan polemik baharu apabila terdapat dakwaan bahawa insiden kemalangan itu dikatakan telah dirancang.
Beberapa rangkaian media melaporkan bahawa Pegawai Azerbaijan dan Amerika Syarikat (AS) percaya peluru berpandu dilancarkan Rusia yang menjadi punya menyebabkan berlakunya tragedi berkenaan.
Sekurang-kurangnya 38 daripada 67 orang di atas kapal itu terkorban.
Pesawat Embraer 190 sepatutnya terbang ke barat laut dari ibu kota Azerbaijan, Baku, ke bandar Grozny di Chechnya, selatan Rusia, tetapi sebaliknya melencong jauh ke laluan merentasi Laut Kaspia.
Ia kemudiannya terhempas di pantai bertentangan perairan tersebut.
Pada awalnya, pemerhati penerbangan Kremlin mendakwa lencongan itu berlaku kerana pesawat berkenaan terjejas selepas dilanggar burung.
Pegawai kerajaan juga tidak menjelaskan punca penerbangan itu dialihkan.
Salah satu sumber Azerbaijan yang dekat dengan siasatan nahas itu itu memberitahu Reuters bahawa laporan awal menunjukkan pesawat itu terkena tembakan oleh sistem pertahanan udara, Pantsir-S Rusia.
Komunikasinya juga dilumpuhkan oleh sistem peperangan elektronik mengenai ketika ia menghampiri Grozny, kata sumber itu.
“Timbul teori ia dilakukan dengan sengaja. Mengambil kira penemuan sejumlah bukti, Azerbaijan menjangkakan pihak Rusia akan mengaku bahawa ia menembak jatuh pesawat itu,” kata sumber terbabit.
Sementara itu, Pendakwa Raya Pengangkutan Wilayah Mangystau, Abylaibek Ordabaev pada Khamis berkata, siasatan Kazakhstan masih belum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan pertahanan udara Moscow telah menembak jatuh pesawat berkenaan.
Dalam pada itu, tiga sumber lain mengesahkan bahawa siasatan Baku telah mencapai kesimpulan awal yang sama bahawa mereka percaya misil Rusia penyebab tragedi tersebut.
Beberapa pakar penerbangan dan tentera berkata, pesawat itu mungkin ditembak secara tidak sengaja oleh sistem pertahanan udara Rusia kerana ia terbang di kawasan di mana aktiviti dron Ukraine sering dilaporkan.
Seorang bekas pakar di agensi penyiasatan kemalangan udara Perancis (BEA) berkata, nampaknya terdapat 'banyak serpihan' kerosakan pada bangkai pesawat itu.
Kremlin ketika disoal tentang spekulasi itu menegaskan siasatan sedang dijalankan dan adalah tidak wajar untuk membuat sebarang hipotesis sehingga laporan akhir selesai.
Beberapa pihak mendakwa Rusia turut menggunakan peralatan gangguan elektronik canggih untuk mengelirukan lokasi dron Ukraine dan sistem komunikasi selain sejumlah besar sistem pertahanan udara yang digunakan untuk menembak jatuh dron milik musuh ketika peperangan antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu yang memasuki tahun ketiga semakin sengit.
INFO
29 penumpang dilaporkan selamat termasuk dua kanak-kanak, dan kesemua mereka menerima rawatan di hospital.
Ramai dalam kalangan mangsa penumpang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Kedua-dua juruterbang maut dalam nahas tersebut.
Penumpang pesawat terdiri daripada beberapa warganegara melibatkan 42 dari Azerbaijan, Rusia (16), Kazakhstan (6), dan Kyrgyzstan (3).
Kazakhstan telah membentuk sebuah suruhanjaya bagi meneliti punca bencana dan memastikan keluarga mangsa yang maut dan cedera mendapat bantuan yang diperlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!